Beruk 'naik angin' sebab lapar

Anggota APM menunjukkan beruk liar yang ditangkap di taman perumahan di Kampung Bawah Lembah, Gual Periuk.
Anggota APM menunjukkan beruk liar yang ditangkap di taman perumahan di Kampung Bawah Lembah, Gual Periuk.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penduduk di sebuah taman perumahan di Kampung Bawah Lembah, Gual Periuk di sini gempar apabila seekor beruk liar 'mengamuk' di kawasan berkenaan pada Isnin lalu.

Kejadian jam 4.10 petang itu telah mencetuskan rasa panik dalam kalangan penghuni di taman perumahan berkenaan.

Haiwan itu bertindak menggeledah kawasan dapur sebuah rumah di taman itu akibat kelaparan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah, Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.15 petang.

"Seramai empat anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menangkap haiwan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, sejurus anggota APM Pasir Mas tiba, haiwan itu telah ditangkap penduduk.

Katanya, beruk berkenaan kemudian dibawa balik ke pusat operasi APM Pasir Mas untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan.

"Alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!