Mangsa banjir di Kedah meningkat semula kepada 164 orang

Anggota penyelamat sedang menjalankan operasi mencari mangsa banjir di Padang Terap, pada Sabtu.
Anggota penyelamat sedang menjalankan operasi mencari mangsa banjir di Padang Terap, pada Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Hujan pada Jumaat malam menyebabkan mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 164 orang daripada 58 keluarga setakat jam 5 petang pada Sabtu.

Menurut laman web Info Bencana, jumlah mangsa itu meningkat berbanding 36 mangsa daripada 10 keluarga yang dilaporkan di Kubang Pasu, pada jam 8 pagi Sabtu.

Pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini yang masih aktif adalah masing-masing di Kubang Pasu dan Padang Terap.

Dua PPS di daerah Pendang ditutup sepenuhnya pada Sabtu berikutan banjir surut sepenuhnya di daerah berkenaan.

Di Kubang Pasu, seramai 121 mangsa daripada 45 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di daerah Kubang Pasu, manakala 43 mangsa daripada 13 keluarga pula ditempatkan di Masjid Aisyah Kampung Tanjung, Mukim Padang Terap Kanan di daerah Padang Terap.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, kesemua mangsa terdiri daripada penduduk di Kampung Belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Wan Kemara, Kampung Kubang Kayu, Kampung Paya Nongmi, Kampung Halban, kampung belakang T Hotel dan Kampung Paya Lantau.

Beliau berkata, banjir berlaku disebabkan limpahan air Sungai Changlun/Temin dan Sungai Laka di daerah itu.

Sementara itu, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Masjid Aisyah pula meningkat kepada 43 mangsa daripada 13 keluarga.

Artikel Berkaitan:

Jumlah itu meningkat berbanding 38 mangsa daripada 11 keluarga pada 12 tengah hari pada Sabtu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Roshidi Kassim berkata, keseluruhan mangsa itu membabitkan penduduk di Kampung Tanjung Kanan yang terjejas akibat banjir kilat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!