Jordan enggan eksport tomato ke Israel
TEL AVIV - Jordan enggan mengeksport tomato ke Israel meskipun selepas Kementerian Kesihatan di Tel Aviv membenarkan semula import hasil pertanian secara bersyarat, menurut media tempatan pada awal minggu lalu.
Sebelum ini, Perkhidmatan Makanan di bawah kementerian itu menggantung penghantaran beberapa jenis buah-buahan dan sayur-sayuran dari Amman selepas keputusan ujian menunjukkan ia dicemari bakteria kolera bawaan Sungai Yarmuk.
"Jordan berang dengan langkah unilateral tersebut dan menunggu permohonan maaf daripada kementerian tersebut," jelas laporan Ynet itu lagi.
Ketika ini, beberapa pengkritik percaya Amman mungkin akan mengambil peluang daripada insiden itu untuk 'menghukum' Tel Aviv kerana memburukkan situasi keselamatan di Asia Barat dengan terjerumus dalam konflik baharu bersama Hizbullah di Lubnan.
"Pembekal tomato di Jordan tiada masalah untuk mencari pasaran alternatif," ujar satu sumber rapat kementerian itu.
Difahamkan, kempen boikot dan penurunan hasil domestik akibat gelombang haba ekstrem pada musim panas lalu telah menjadi antara punca kekurangan bekalan tomato di Tel Aviv.
Israel memerlukan kira-kira 14,000 tan tomato pada setiap bulan secara purata dan permintaan itu tidak dapat dipenuhi pada tahun ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!