Polis siasat kewujudan pusat kuarantin didakwa milik GISBH

Razarudin
Razarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kewujudan pusat kuarantin didakwa milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di beberapa lokasi dalam serta luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kewujudan pusat kuarantin terbabit dimuat naik menerusi satu halaman Facebook.

"Siasatan berkaitan wujudnya pusat kuarantin didakwa milik GISBH dijalankan pihak polis secara lanjut.

"Pusat kuarantin ini dipercayai menjadi tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli-ahli GISBH yang bermasalah," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Razarudin berkata, pihaknya membuka 10 kertas siasatan berkaitan kes terbabit.

"Kesemua kertas siasatan itu dibuka untuk disiasat di Bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Siasatan dijalankan hasil laporan polis berhubung isu buruh paksa diterima daripada beberapa individu yang pernah bekerja dengan syarikat GISBH," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut giat mengesan aset-aset yang dikaitkan atau dimiliki GISBH bagi membantu siasatan lanjut dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, merujuk pada kenyataan media pada 25 September lalu bertajuk GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan, jelas beliau, ia merujuk kepada tahun taksiran terkini yang sedang disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama PDRM.

"Siasatan itu memfokuskan kepada beberapa syarikat di bawah GISBH yang dipercayai gagal mematuhi beberapa peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 10 laporan terbaharu diterima daripada individu yang didakwa menjadi mangsa buruh paksa GISBH.

Razarudin memaklumkan mereka yang berumur 14 tahun hingga 20-an itu melibatkan kes yang berlaku sejak 2013 di Selangor, Sarawak dan Kedah.

Jelas beliau, sepanjang tempoh bermula 11 September lalu, lebih 300 individu diberkas manakala 572 kanak-kanak diselamatkan polis di rumah jagaan yang diserbu menerusi Ops Global.

Sebanyak 35 kertas siasatan dibuka dan 138 akaun bank mengandungi RM882,795 milik GISBH dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!