Hizbullah sahkan Hassan Nasrallah terkorban

Blok kediaman yang menjadi sasaran bedilan IDF di pinggir selatan Beirut pada Sabtu. Gambar kecil: Nasrallah
Blok kediaman yang menjadi sasaran bedilan IDF di pinggir selatan Beirut pada Sabtu. Gambar kecil: Nasrallah
A
A
A

BEIRUT - Rejim Zionis melancarkan gelombang serangan baharu ke atas Lubnan pada Sabtu, sehari selepas ia memperhebatkan kempen pengeboman di pinggir selatan negara itu.

Bedilan bertalu-talu itu turut meragut nyawa Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah selepas operasi itu dilancarkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk menyasarkan pemimpin tersebut yang merupakan sekutu utama Iran.

Pengesahan tersebut dibuat Hizbullah setelah sumber rapat gerakan itu memaklumkan beliau tidak dapat dihubungi sejak dua hari lalu.

“Pemergian beliau yang telah memimpin gerakan ini selama lebih 30 tahun adalah satu kehilangan besar,” ujar jurucakap Hizbullah dalam satu kenyataan.

Terdahulu, jurucakap IDF, Leftenan Kolonel, Nadav Shoshani menerusi platform X mengumumkan Nasrallah terkorban dalam serangan udara dilancarkan mereka di Beirut.

Insiden pembunuhan menyasarkan pemimpin pejuang di bawah gerakan Paksi Penentangan anti-Israel itu kembali menggemparkan rantau Asia Barat selepas Ismail Haniyeh yang memimpin Hamas gugur syahid di Teheran pada akhir Julai lalu.

Wakil media antarabangsa mengesahkan lebih 30 serangan udara dilancarkan hingga memaksa komuniti di pinggir Beirut berlindung di dataran, taman awam dan kawasan tepi pantai.

Hujan peluru selama lebih lima jam itu berlaku pada awal pagi selepas serangan yang membinasakan beberapa blok kediaman di kawasan kejiranan Haret Hreik di Dahiyeh yang disifatkan sebagai bedilan paling ganas setelah konflik rentas sempadan tercetus sejak hampir setahun lalu.

Artikel Berkaitan:

IDF mendakwa siri serangan menggila itu kononnya menyasarkan kemudahan simpanan senjata milik Hizbullah yang terletak di bawah bangunan kediaman orang awam, alasan sama yang diberikan ketika ia membedil hospital di Gaza yang didakwa menjadi markas pejuang Hamas.

Sejak beberapa hari lalu, fokus operasi ketenteraan untuk menghapuskan Hamas di Gaza beralih ke Lubnan di mana kempen pengeboman tanpa henti telah meragut lebih 700 nyawa manakala kira-kira 118,000 hilang tempat tinggal. - AFP

Info

>Pejuang Hizbullah jadi korban Israel

>Bedilan pada 30 Julai lalu telah mengorbankan komander kanan, Fuad Shukr yang merupakan salah satu sasaran berprofil tinggi dalam senarai Israel. Beliau memainkan peranan utama dalam pertempuran rentas sempadan dengan rejim Zionis.

>Serangan udara pada 20 September lalu telah meragut nyawa Ketua unit elit Radwan, Ibrahim Aqil bersama 15 komander yang lain. Aqil merupakan pemimpin kedua tertinggi pasukan itu selepas Shukr.

>Pasukan Radwan merupakan unit paling digeruni musuh dan anggota mereka mahir dalam penyusupan rentas sempadan.

>Pada 25 September lalu, Mohammed Kobeissi yang mengetuai beberapa unit termasuk peluru berpandu dan operasi di sempadan Tel Aviv-Beirut terkorban dalam serangan Israel.

>Pada 26 September, serangan ganas rejim Zionis telah membunuh ketua unit dron, Mohammed Srur. Beliau pernah memainkan peranan utama ketika Hizbullah terlibat perang saudara di Syria pada 2013 untuk menyokong rejim Presiden Bashar al-Assad.

>Komander lain yang terkorban baru-baru ini ialah Wissam Tawil dan Mohammed Naameh Nasser.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!