PN terima kekalahan di DUN Mahkota dengan hati terbuka

Mohamed Azmin (tengah) pada sidang akhbar di bilik gerakan utama (BGU) Perikatan Nasional (PN) di Jalan Dahlia, Kampung Melayu Kluang.
Mohamed Azmin (tengah) pada sidang akhbar di bilik gerakan utama (BGU) Perikatan Nasional (PN) di Jalan Dahlia, Kampung Melayu Kluang.
A
A
A

KLUANG - Perikatan Nasional (PN) menerima keputusan yang dibuat oleh pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan hati terbuka.

Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota bagi PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gabungan itu tidak akan berputus asa sebaliknya akan terus berusaha pada pilihan raya akan datang.

"Sejak dari awal lagi kita sudah menyatakan Mahkota, Kluang merupakan kawasan Pakatan Harapan (PH)-BN namun kita tetap berusaha sedaya upaya menyantuni seramai mungkin pengundi.

"Calon kita juga, Coach Haizan diterima baik oleh pengundi. Berbanding UMNO, mereka telah gunakan segenap jentera kerajaan negeri mahupun persekutuan untuk meraih sokongan dalam PRK kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN di Jalan Dahlia Kampung Melayu di sini pada malam Sabtu.

Hadir sama Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, sokongan kepada PN tidak berubah di Mahkota jika dibandingkan dengan keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

"Kita juga ingin berkongsi sokongan kepada PN cukup baik dan nampaknya sokongan juga tidak berubah atau menurun berbanding pada PRN lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pada PRN lalu peratusan keluar mengundi sebanyak 58 peratus dan kita meraih 7,614 undi.

"Pada hari ini peratusan kuar undi terus menurun kepada 54 peratus namun sokongan kepada PN tetap berada sekitar 7,332 undi menurut angka yang tidak rasmi sebentar tadi," ujarnya.

Mohamed Azmin turut menggesa pihak bertanggungjawab agar mengenal pasti faktor yang menyebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah di PRK DUN Mahkota.

"Peratusan keluar undi pada hari ini, adalah paling rendah iaitu hanya 54 peratus sahaja.

"Maka peratusan undi yang rendah ini menuntut semua pihak untuk melihat secara serius dan ambil langkah untuk pastikan penyertaan rakyat Malaysia dalam pilihan raya dapat ditingkatkan selepas ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!