PH Johor lega dapat tunai janji menangkan BN - Aminolhuda

Aminolhuda (kiri) bersama kepimpinan BN turut meraikan kemenangan Syed Hussien di BGU BN, di Kluang pada Sabtu.
Aminolhuda (kiri) bersama kepimpinan BN turut meraikan kemenangan Syed Hussien di BGU BN, di Kluang pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Pakatan Harapan (PH) Johor menzahirkan rasa lega kerana dapat menunaikan janji kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, kemenangan bergaya yang diperoleh BN adalah bukti komitmen yang tidak berbelah bahagi PH, bersandarkan semangat Kerajaan Perpaduan.

"Inilah gambaran persefahaman yang telah ditonjolkan oleh rakyat Johor untuk kali kedua.

"Pada hari ini PH memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam apa yang kami janjikan dalam pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO (Zahid) dan Menteri Besar Johor (Onn Hafiz) bahawa PH akan membantu untuk memenangkan calon BN, iaitu Syed Hussien dan ia terbukti pada malam ini.

"Kerjasama yang telah ditunjukkan dalam PRK ini hasil daripada semangat dan kerjasama yang kita buktikan kerana kita sayangkan dan cintakan Malaysia, dan Johor.

"Sebab itu, saya dalam ucapan setiap kali dalam pertemuan dengan masyarakat Johor, walaupun kami berbilang bangsa berbilang agama dan juga berlainan pemikiran politik di peringkat awalnya, tetapi apabila kita melihat kepentingan kesatuan untuk masyarakat Malaysia.

"Ia demi memastikan bukan sahaja untuk menstabilkan politik dan ekonomi, tetapi lebih penting daripada itu adalah kemakmuran rakyat mesti dicapai bersama oleh kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," ketika berucap di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN di Taman Sri Kluang di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading menegaskan, kerjasama Kerajaan Perpaduan wajar dipertahankan.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai kaum dan agama menyaksikan Kerajaan Perpaduan perlu dipertahankan dan diteruskan untuk kekalkan kejayaan kerajaan dalam bentuk bukan sahaja ekonomi dan kesejahteraan perkara-perkara lain.

"Buktinya dengan kemenangan (Syed) Hussien," katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi dengan bergaya apabila memperoleh majoriti 20,648 undi, empat kali ganda lebih besar berbanding PRN 2022 iaitu 5,166 undi.

Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah mendapat 27,995 undi manakala pencabarnya, Haizan Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) hanya memperoleh 7,347 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!