PM luluskan pembesaran Lapangan Terbang Miri

Anwar bersama Abang Johari menghadiri Jamuan Negeri sempena lawatan Perdana Menteri ke Sarawak di sini hari ini. Foto Bernama
Anwar bersama Abang Johari menghadiri Jamuan Negeri sempena lawatan Perdana Menteri ke Sarawak di sini hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MIRI - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya Lapangan Terbang Miri terus diperbesar susulan peningkatan jumlah penumpang yang menggunakannya.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan jumlah pengguna lapangan terbang itu meningkat hampir 90 peratus berbanding tahun lepas dan ini mewajarkan keperluan untuk meningkatkan lagi infrastruktur berkenaan.

"Saya setuju untuk beri perhatian dan dapat juga maklumat daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Kementerian Kewangan.

"Pada malam ini, wajar saya umumkan bahawa projek pembesaran Lapangan Terbang Miri itu kita luluskan,” katanya.

Berucap pada majlis jamuan negeri di sini malam ini sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Sarawak, Anwar berkata situasi lapangan terbang di sini mengingatkannya dengan keadaan Lapangan Terbang di Sabah.

"Lapangan Terbang Tawau dianggap kecil dan tidak termasuk dalam senarai keutamaan tetapi sekarang sudah menjadi tarikan pelancong dari Korea, Jepun dan Cina maka ia terpaksa diperbesar dengan segera,” katanya.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar serta beberapa menteri Persekutuan dan Negeri.

Petang tadi, Perdana Menteri merasmikan Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sarawakku Sayang di pekarangan sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini.

Program itu dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri menerusi kerjasama strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air selaku kementerian peneraju serta Kerajaan Negeri Sarawak selaku tuan rumah.

Artikel Berkaitan:

Esok, Anwar dijadualkan ke Kapit di mana beliau akan meninjau beberapa projek infrastruktur Persekutuan dan menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk di bandar Kapit serta sebuah rumah panjang berdekatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!