Lapan jam padam kebakaran hutan
GEORGETOWN - Kebakaran hutan di belakang Tokong Kek Lok Si berdekatan Bukit Bendera, Air Itam di sini yang melibatkan keluasan lebih tujuh hektar telah dapat dikawal daripada terus merebak awal pagi hari ini.
Exco Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh berkata, hanya sekumpulan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat masih kekal di lokasi bagi kerja-kerja pemadaman api yang dijalankan hampir lapan jam itu.
Menurutnya, operasi bersama telah dimulakan untuk melakukan siasatan forensik bagi mengenal pasti pihak yang terlibat selain mengesan punca kebakaran.
"Kebakaran ini berlaku pada waktu malam menyebabkan tugas pasukan bomba sukar untuk memastikan sama ada api masih berterusan atau telah dapat dikawal.
"Bagaimanapun, pemantauan awal pagi tadi mendapati api dapat dikawal di kebanyakan kawasan seluas tujuh hektar tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Muzzamer Mohd Salleh berkata, faktor tiada laluan ke lokasi kebakaran dan kedudukan yang curam mengakibatkan operasi menyelamat mengalami kelewatan.
Katanya, api marak terlalu pantas berikutan angin kencang namun ia dapat dikawal sebelum merebak ke kawasan pelancongan berhampiran iaitu puncak Bukit Bendera dan Tokong Kek Lok Si.
"Api sudah dapat dikawal namun kerja-kerja pemantauan masih dijalankan di lokasi kejadian.
"Anggota dan pegawai bertugas telah menjalankan pemantauan untuk memastikan tiada kebakaran baharu berlaku.
"Operasi pemadaman berjaya ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.10 petang tadi," katanya.
Semalam kira-kira tujuh hektar kawasan hutan di belakang tokong Kek Lok Si, Air Itam di sini dan yang berdekatan dengan Bukit Bendera terbakar dalam kejadian jam 7.10 malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Hutan belakang Kek Lok Si terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!