Staf wanita dipecat enggan ikut cakap bos beli sarapan
BEIJING - Seorang wanita di Shanghai dipecat gara-gara enggan membeli sarapan pagi untuk bosnya, lapor South Morning China Post.
Tindakan itu telah mencetuskan kemarahan di seluruh media sosial tanah besar China.
Sebagai tindak balas kepada amarah netizen, syarikat berkenaan mengambil balik pekerja terbabit dan sebaliknya memecat bosnya itu.
Wanita yang dikenali dengan nama keluarga Lou, adalah pekerja baru di sebuah institusi pendidikan dan berkongsi pengalamannya di platform media sosial Xiaohongshu.
Lou menceritakan bahawa penyelianya bernama Liu, meminta dia membawakan kopi panas dan telur setiap pagi.
Selain itu, Lou menyebut bahawa bosnya berkeras mahu menyediakan sebotol air minuman setiap kali sarapan pagi.
Apabila Lou menolak tuntutan yang tidak munasabah ini dalam kumpulan sembang kerja Whatapps, dia secara tiba-tiba dipecat oleh jabatan sumber manusia dan menjelaskan dia tidak akan menerima sebarang pampasan.
Selepas kejadian itu tular di media sosial, ia mendapat kecaman meluas oleh netizen yang membaca kisahnya itu.
Seorang netizen menyatakan seorang majikan atau penyelia tidak sepatutnya melayan pekerja seperti 'hamba abdi'.
"Lou menunjukkan keberanian yang ketara dengan mendedahkan salah laku bosnya," kata netizen.
Pada 12 September lalu, syarikat itu mengeluarkan kenyataan yang mengumumkan bahawa penyelia Lou telah dipecat kerana menyalahgunakan kuasanya dan memaksa orang bawahan untuk membantunya dalam hal- hal peribadi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!