Usahawan tempatan berdaya saing

Ewon (tengah), Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Mohd Salem melihat pameran perumahan UDA selepas merasmikan Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang pada Jumaat.
Ewon (tengah), Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Mohd Salem melihat pameran perumahan UDA selepas merasmikan Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - UDA Holdings Berhad (UDA) mengumpulkan seramai 170 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sempena Karnival UDA 2024 untuk memperkasakan usahawan tempatan yang berdaya saing.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program selama tiga hari itu menjadi platform terbaik kepada usahawan UDA untuk meningkatkan jaringan perniagaan dan mempromosikan produk mereka.

Menurutnya, dengan pelbagai aktiviti keusahawanan yang diadakan, karnival itu diharapkan dapat memberikan dorongan kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan dan menghadapi cabaran dalam industri.

“Usahawan UDA yang terlibat dalam karnival ini melibatkan golongan asnaf, wanita, B40 dan orang kurang upaya (OKU) di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Program ini juga memberi tumpuan kepada pengolahan dan bantuan penjenamaan produk atau perkhidmatan kepada usahawan terpilih. Dengan tawaran insentif yang menarik, karnival ini menggalakkan aktiviti keusahawanan.

Ewon ketika berucap di Majlis Pelancaran Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang di Lake Valley Bandar Tun Hussein Onn pada Jumaat.
Ewon ketika berucap di Majlis Pelancaran Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang di Lake Valley Bandar Tun Hussein Onn pada Jumaat.

“Ia turut mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing,” katanya dalam Majlis Pelancaran Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang, di Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn pada Jumaat.

Ewon berkata, karnival tersebut juga membuka peluang padanan perniagaan kepada usahawan untuk meluaskan skop perniagaan dan perkongsian ilmu.

Artikel Berkaitan:

“Ia dapat memenuhi matlamat keterangkuman sosial dan kesaksamaan peluang dalam kalangan usahawan di pelbagai peringkat lapisan masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, UDA komited melaksanakan pembangunan hartanah di Lembah Klang.

“Menerusi karnival berkenaan, UDA menyasarkan RM110 juta bagi jualan produk hartanah menerusi kempen promosi ‘Jimat Super Deals’,” katanya.

Menurutnya, pembangunan rumah mampu milik itu dapat membuka lebih peluang kepada semua generasi untuk memiliki kediaman sendiri.

“Inisiatif ini juga dilihat sebagai usaha UDA meningkatkan taraf pemilikan hartanah terutamanya bumiputera di kawasan bandar, memenuhi mandat yang diamanahkan,” jelasnya.

Angkat aspirasi UDA

Ewon (kanan), Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Mohd Salem menyempurnakan majlis perasmian Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang.
Ewon (kanan), Ketua Setiausaha Kuskop, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Mohd Salem menyempurnakan majlis perasmian Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang.



Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang itu merupakan lokasi kedua bagi jelajah yang mengangkat aspirasi UDA untuk memperkasakan usahawan PMKS.

Tambah Mohd Salem, UDA menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM112.5 juta melibatkan jualan hartanah dan usahawan masing-masing bernilai RM110 juta serta RM2.5 juta.

“UDA sebagai salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menganjurkan jelajah ini untuk mendukung perkembangan usahawan PMKS melalui Program Insentif Usahawan UDA (PIUU) yang berupa insentif sewaan gerai jualan.

“UDA turut menyokong usahawan menerusi Program Pemerkasaan Usahawan yang merangkumi bantuan pemerkasaan penjenamaan produk atau perkhidmatan dan insentif pengiklanan digital melalui green screen,” katanya.

Mohd Salem berkata, menerusi Karnival UDA @ Lembah Klang 2024, UDA melancarkan beberapa projek terbaharu pada suku kedua 2024 untuk menggalakkan usaha pemilikan hartanah.

Tambah beliau, antara produk yang diketengahkan adalah Taman Kuala Terengganu Golf Resort (Fasa 6 Pakej 1) di Kuala Terengganu dan Pelindung Heights (Fasa 1B Pakej 4) di Kuantan.

“UDA juga mengetengahkan Areca Terrace (Fasa 4B) dan UDA Heights (Fasa 1C) di Bandar UDA Utama, Johor Bahru serta Sedili Residensi di Kota Tinggi.

“Bagi sebelah utara pula, UDA memperkenalkan Mawar @ Taman Sultan Sallehuddin di Alor Setar, Crescent Dew Commercial di Kepala Batas, Wakaf Seetee Aisah 2 (Kedai Pejabat) di Seberang Jaya, dan Taman Sena Permai di Kangar,” katanya.

Pengunjung turut berpeluang untuk membeli kraftangan yang disediakan oleh PMKS.
Pengunjung turut berpeluang untuk membeli kraftangan yang disediakan oleh PMKS.

Mohd Salem berkata, kawasan pembangunan baharu di Sarawak, UDA membawakan projek Neu Pendington (Fasa 1A dan Fasa 1B) di Kuching.

“Sudah semestinya untuk warga kota di Lembah Klang, UDA menampilkan tiga projek kediaman baru iaitu Dedaun Residensi di Cheras, Residensi 38 Bangsar di Bangsar dan juga Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur,” tambahnya.

Selesa

Seorang peniaga kerongsang, Ng Ee Nee, 48, berkata, Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang itu merupakan program keusahawan pertama yang disertainya.

Beliau berkata, sebanyak 10,000 kerongsang pelbagai jenis yang dijual di karnival itu antaranya kerongsang, dokoh dan peniti.

“Lokasi peniagaan strategik dan sesuai menyebabkan reruai saya mendapat sambutan memberangsangkan. Malah, pengasingan reruai mengikut kategori perniagaan memberikan keselesaan kepada pengunjung,” katanya.

Menurut Ee Nee, rakannya telah memaklumkan mengenai karnival itu dan beliau mengambil keputusan untuk menghubungi pihak UDA bagi mendapatkan tempat sebagai usahawan PMKS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!