Malaysia kesal kebiadaban Israel, seru tindakan drastik PBB

Mohamad Foto Bernama
Mohamad Foto Bernama
A
A
A

NEW YORK - Malaysia menyatakan kekesalan yang mendalam terhadap tindakan biadab Israel susulan pembunuhan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, dengan menyifatkan negara Yahudi itu sebagai angkuh dan tidak menghormati keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui media selepas menyampaikan kenyataan negara di Perhimpunan Agung PBB ke-79, mengecam keras tindakan Israel yang disifatkan sebagai tidak peduli terhadap pandangan atau keputusan masyarakat antarabangsa.

Mohamad ketika Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-79 di sini, pada Sabtu. Foto Facebook Mohamad Hasan
Mohamad ketika Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-79 di sini, pada Sabtu. Foto Facebook Mohamad Hasan

"Kita amat kesal. Israel kini menjadi sebuah negara yang amat biadab, bongkak, dan tidak peduli kepada saranan, pandangan atau keputusan yang dibuat oleh PBB.

Mereka sudah melampaui batas dan kita perlu mengambil tindakan drastik untuk mengekang kebiadaban mereka,” kata Mohamad.

Beliau menekankan keperluan untuk mengenakan sekatan senjata ke atas Israel bagi menghalang negara itu daripada terus menggunakan senjata untuk membunuh rakyat tidak bersalah, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

"Jika kita tidak mengambil tindakan segera, kebiadaban ini akan berterusan. Hari demi hari, tahun demi tahun, kita hanya bersuara seperti ‘anjing menyalak bukit’, tetapi tiada apa-apa perubahan.

Saya juga menyatakan perkara ini kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan beliau turut menyatakan rasa kesal terhadap situasi ini,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Malaysia menggesa supaya Jawatankuasa Khas PBB Menentang Apartheid diwujudkan semula. Foto Facebook Mohamad Hasan
Malaysia menggesa supaya Jawatankuasa Khas PBB Menentang Apartheid diwujudkan semula. Foto Facebook Mohamad Hasan

Terdahulu ketika sesi penyampaian kenyataan negara, Mohamad turut menyeru Majlis Keselamatan PBB supaya menggunakan kuasa di bawah Bab 7 untuk mengenakan sekatan senjata dengan segera terhadap Israel dan menekankan pentingnya menghentikan keganasan dan memastikan akauntabiliti atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Hizbullah pada Sabtu mengumumkan bahawa Setiausaha Agungnya, Hassan Nasrallah telah terkorban dalam serangan udara rejim Zionis di pinggir bandar selatan Beirut, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Hizbullah menyatakan, "Seyyed Hassan Nasrallah, Setiausaha Agung Hizbullah, telah menyertai rakan-rakan syahidnya yang agung dan abadi, yang jalannya dipimpinnya selama kira-kira 30 puluh tahun, gugur di jalan menuju Baitulmuqaddis dan Palestin."

Hizbullah menekankan kepimpinan Nasrallah selama berdekad dalam penentangan terhadap Israel, sambil menyatakan bahawa dedikasinya kepada perjuangan pembebasan Palestin telah mendefinisikan kehidupannya dan kini "kesyahidannya."

Nasrallah, yang menjadi Setiausaha Agung Hizbullah sejak 1992, memainkan peranan penting dalam pergerakan penentangan dari Lubnan, terutamanya dalam konfrontasi dengan tentera Israel. - Bernama

________________________________________________________________________________

Malaysia gesa pelantikan utusan khas PBB untuk tangani islamofiobia

NEW YORK - Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melantik Utusan Khas untuk Memerangi Islamofobia, sambil menyeru tindakan segera di peringkat global terhadap gelombang ucapan kebencian dan keganasan yang semakin meningkat terhadap golongan minoriti, khususnya umat Islam.

"Kami terkejut dengan trend kebencian, tidak bertoleransi, dan tindakan keganasan terhadap umat Islam yang semakin membimbangkan. Ini tidak boleh berterusan. Dalam era globalisasi, terdapat ruang untuk semua orang hidup bersama. Tanggungjawab kita, di bawah panji dunia yang bersatu, adalah memastikan keamanan akan kekal.

"Malaysia menggesa pelantikan segera Utusan Khas PBB untuk Memerangi Islamofobia,” kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di sini, pada Sabtu.

Beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk langkah-langkah mempromosikan toleransi beragama, dengan menyatakan bahawa "terdapat ruang untuk semua orang hidup bersama dalam era globalisasi.”

Mohamad juga mengulangi kesediaan Malaysia untuk menyokong usaha PBB dalam memupuk dialog antara komuniti bagi mempromosikan pemahaman dan penerimaan bersama.

"Kami bersedia menyokong sebarang usaha yang dilakukan oleh PBB ke arah memupuk dialog antara komuniti yang akan mempromosikan penerimaan dan pemahaman di seluruh dunia,” katanya.

Sambil mengakui bahawa Islamofobia masih menjadi ancaman besar kepada umat Islam di seluruh dunia, Mohamad menegaskan bahawa isu kebencian terhadap mana-mana kumpulan agama turut menggugat nilai-nilai sejagat mengenai keadilan dan keamanan.

"Islamofobia adalah ancaman kepada umat Islam, tetapi kebencian terhadap pengikut mana-mana agama menggugat nilai-nilai sejagat mengenai keadilan dan keamanan yang kita semua berikrar untuk lindungi.

Kita mesti bertindak sekarang. Tiada tempat untuk kebencian atau tidak bertoleransi di dunia kita,” katanya.

Tema Perbahasan Umum tahun ini ialah "Tiada Seorang Pun Ditinggalkan: Bertindak Bersama untuk Kemajuan Keamanan, Pembangunan Mampan dan Maruah Manusia untuk Generasi Masa Kini dan Akan Datang." - Bernama

___________________________________________________________________________

Malaysia gesa PBB wujudkan semula jawatankuasan Anti-Apartheid

NEW YORK - Malaysia menggesa supaya Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Apartheid diwujudkan semula dan menegaskan perlunya usaha baharu global untuk memerangi ketidakadilan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan semasa menyampaikan kenyataan negara pada Perbahasan Umum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada Sabtu berkata, masyarakat antarabangsa mesti bertindak pantas untuk menangani pelanggaran yang berterusan.

Beliau turut menyeru Majlis Keselamatan PBB supaya menggunakan kuasa di bawah Bab 7 untuk mengenakan sekatan senjata segera terhadap Israel dan menekankan kepentingan menghentikan keganasan dan memastikan akauntabiliti atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.

"Tindakan Israel,dengan setiap hari yang berlalu, menimbulkan keraguan sama ada ia percaya pada sistem PBB atau menghargai keahliannya dalam organisasi ini.

Pendudukan haramnya telah mewujudkan sistem apartheid dan diskriminasi terhadap rakyat Palestin. Rejim Israel sendiri telah mengisytiharkan niatnya untuk menghapuskan seluruh populasi. Ini adalah, tanpa persoalan, satu genosid.

"PBB tidak boleh berdiam diri. Kita mesti segera menggunakan proses sedia ada yang diasaskan oleh Perhimpunan Agung ini, bersama mekanisme yang dibangunkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia. Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Apartheid.

Menteri Luar itu juga menegaskan bahawa kuasa veto dalam Majlis Keselamatan perlu pembaharuan, terutamanya dalam kes-kes pelanggaran hak asasi manusia.

"Veto tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya. Perlu ada pengecualian dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan dan serangan ke atas infrastruktur awam.

"Kita mesti mengehadkan, atau menghapuskan veto sepenuhnya,” katanya dan turut menggesa Perhimpunan Agung mengambil tindakan di mana Majlis Keselamatan gagal berbuat demikian.

Mohamad menyatakan bahawa Malaysia - yang sekian lama menyokong Palestin - mengalu-alukan kemajuan yang dicapai tahun ini dengan 143 negara anggota meluaskan prinsip kesaksamaan PBB kepada Palestin.

"Ia memberi kami harapan untuk melihat Negara Palestin duduk bersama kami hari ini. Kami menggesa minoriti yang masih tinggal untuk menyertai majoriti,” katanya.

Menyeru penyelesaian diplomatik, Mohamad menegaskan sokongan Malaysia terhadap kenegaraan Palestin.

"Israel telah melanggar setiap undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Genosid, Konvensyen Geneva dan teras Perjanjian Hak Asasi Manusia.

"Sudah tiba masanya untuk merealisasikan hak Palestin untuk kenegaraan dan keahlian penuh dalam Perhimpunan ini. Dialog dan diplomasi adalah satu-satunya jalan menuju penyelesaian berkekalan - bukan hukuman kolektif, kebuluran buatan manusia atau bebas daripada hukuman,” katanya.

Beliau turut merujuk penghinaan Israel baru-baru ini terhadap PBB dengan berkata, "Beberapa bulan lalu, kita menyaksikan Israel memperlekehkan badan ini, mengoyakkan Piagam PBB di dewan ini.”

"Walaupun segelintir kuasa besar mungkin berkelakuan seolah-olah kekuatan adalah kebenaran, suara majoriti tidak akan diabaikan,” katanya.

Tema Perbahasan Umum tahun ini ialah "Tiada Seorang Pun Ditinggalkan: Bertindak Bersama untuk Kemajuan Keamanan, Pembangunan Mampan dan Maruah Manusia untuk Generasi Masa Kini dan Akan Datang." - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!