Polis kesan pemandu trak pikap putih halang ambulans

Polis giat mengesan pemandu trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipercayai menghalang laluan ambulans walaupun siren kecemasan dibunyikan beberapa kali dalam kejadian di persimpangan Padang Lembek, Ketereh di Kota Bharu pada Khamis lalu
Polis giat mengesan pemandu trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipercayai menghalang laluan ambulans walaupun siren kecemasan dibunyikan beberapa kali dalam kejadian di persimpangan Padang Lembek, Ketereh di Kota Bharu pada Khamis lalu
A
A
A

KOTA BHARU - Polis giat mengesan pemandu trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipercayai menghalang laluan ambulans walaupun siren kecemasan dibunyikan beberapa kali dalam kejadian di persimpangan Padang Lembek, Ketereh di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, selain itu pihaknya turut meminta pemandu ambulans terbabit untuk hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bagi membantu siasatan.

"Pada Sabtu, sekitar jam 7 malam, kita telah mengesan satu rakaman video berdurasi 46 saat di aplikasi TikTok yang memaparkan tindakan seorang pemandu trak pikap berwarna putih menghalang laluan ambulans walaupun siren kecemasan dibunyikan beberapa kali," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, tindakan pemandu trak pikap itu melanggar peraturan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Katanya, dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas LN165/59 iaitu Kanun Lebuhraya ada menyatakan Peraturan 24 LN165/59.

“Apabila menghampiri apa-apa kenderaan kecemasan seperti polis, bomba atau ambulans, bunyi siren atau loceng, tatacara pemanduan mestilah masuk ke sebelah kiri atau kanan dan berhenti untuk memudahkan laluan kenderaan kecemasan,” katanya.

Mohd Rosdi memberitahu, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi mereka ditalian 09-7752200.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!