Liverpool terajui EPL, pintas Manchester City
JARINGAN Ibrahima Konate dan Mohamed Salah melonjakkan Liverpool ke tangga teratas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Wolverhampton 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Molineux.
Kemenangan itu menyaksikan anak buah Arne Slot mengumpul 15 mata selepas enam perlawanan, satu mata mengatasi Manchester City dan Arsenal, manakala kekalahan kelima selepas enam aksi menjerumus Wolves ke tangga tercorot dengan satu mata.
Tiga mata hadir ketika Liverpool berdepan jadual yang padat, dengan pasukan Slot menumpaskan West Ham United 5-1 dalam perlawanan pusingan ketiga Piala Liga pada Rabu, pada ketika akan melayan kunjungan Bologna bagi perlawanan Liga Juara-Juara dalam masa empat hari.
The Reds sebelum itu berada di depan hasil tandukan Konate pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas pemain berusia 25 tahun tersebut menterjemahkan sentuhan Diogo Jota pada minit ke-47 separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, Wolves berusaha kembali semula dalam perlawanan apabila meningkatkan tekanan terhadap bahagian benteng pasukan pelawat dengan Rayan Ait-Nouri meledak jaringan penyamaan mengatasi Alisson Becker pada minit ke-56.
Bagaimanapun bintang sensasi Liverpool, Salah melenyapkan kegembiraan penyokong-penyokong tuan rumah lima minit kemudian apabila menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Sam Johnstone selepas Nelson Semedo melakukan kekasaran terhadap Jota.
"Saya percaya pasukan seperti Liverpool akan berada dalam kelompok empat teratas liga, kami terus mendesak, namun ini masih terlalu awal.
"Musim ini saya mahu menunjukkan diri semula dan sangat gembira. Dia (Slot) meletakkan saya dalam kesebelasan utama yang meningkatkan semula keyakinan diri," kata pemain tengah Liverpool, Ryan Gravenberch selepas tampil persembahan mengagumkan dalam perlawanan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!