Mayat Salmah ditemui 50 meter dari lokasi mayat anaknya

Mayat Salmah Mat Zain, 46, dijumpai pasukan penyelamat kira-kira 50 meter dari lokasi mayat anaknya, Muhammad Rosman Rohadi, 19, yang ditemui pada jam 5.25 petang pada Sabtu.
Mayat Salmah Mat Zain, 46, dijumpai pasukan penyelamat kira-kira 50 meter dari lokasi mayat anaknya, Muhammad Rosman Rohadi, 19, yang ditemui pada jam 5.25 petang pada Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Mayat wanita berusia 46 tahun yang merupakan mangsa kedua tragedi dua beranak yang dibawa arus banjir di Kampung Tanjung Kanan,Kuala Nerang di sini ditemui pada pagi Ahad.

Mayat Salmah Mat Zain, 46, dijumpai pasukan penyelamat kira-kira 50 meter dari lokasi mayat anaknya, Muhammad Rosman Rohadi, 19, yang ditemui pada jam 5.25 petang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, mayat Salmah dijumpai kira-kira 15 minit selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada jam 7.30 pagi Ahad

"Operasi SAR disambung dengan kekuatan anggota yang sama dan kita berjaya menemui mayat mangsa tidak jauh dari lokasi mayat anaknya ditemukan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.

Menurutnya, mayat mangsa didapati tersangkut di bawah timbunan sisa pelepah kelapa sawit serta tunggul kayu di kawasan ladang kelapa sawit yang masih ditenggelami banjir.

"Lokasi mayat mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari tempat mangsa dipercayai dihanyutkan arus. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk proses bedah siasat," katanya.

Mulkiaman pada masa sama menasihatkan kepada orang ramai agar tidak sesekali meredah banjir bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Semua mangsa banjir juga diminta untuk segera berpindah jika diarah berbuat demikian demi keselamatan diri dan keluarga," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian pada pagi Sabtu, dua beranak berkenaan dipercayai baru pulang dari membeli nasi lemak dan cuba meredah air banjir untuk pulang ke rumah mereka.

Penduduk kampung yang melihat situasi itu cuba menjerit mengarahkan mereka berpatah balik sebelum kedua-duanya dilihat hanyut dibawa arus.

Mayat Salmah dijumpai pasukan penyelamat di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang pasa Ahad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!