[VIDEO] Hujan lebat, paip bocor mungkin punca tanah mendap
BATU GAJAH - Hujan lebat dan kebocoran paip dipercayai menjadi punca berlaku kejadian tanah mendap di hadapan empat rumah berhampiran cerun di Taman Teja di sini dalam kejadian pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, V Bavani berkata, bagaimanapun punca sebenar kejadian tersebut masih dalam siasatan pihak berkaitan.
Menurutnya, pihak Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan Lembaga Air Perak (LAP) telah turun padang meninjau keadaan tersebut selepas kejadian tersebut.
"Keadaan di lokasi terkawal dan penghuni rumah yang terlibat juga sudah dinasihati berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
"Pihak MDBG sedang mengemukakan permohonan daripada kerajaan negeri bagi mendapatkan peruntukan kecemasan untuk membaik pulih kawasan terjejas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.
Bavani berkata, pada masa sama Pejabat Daerah dan Tanah Kinta juga sudah dimaklumkan mengenai kejadian bagi mendapatkan bantuan berkaitan.
Menurutnya, taman perumahan tersebut telah wujud sejak 30 tahun lalu dan infrastruktur yang ada juga sudah lama.
Beliau dalam pada itu turut mengharapkan agar masalah tersebut dapat diselesaikan segera sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.
Bavani turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak-pihak berkaitan yang membantu penduduk terjejas.
Jelasnya, ketika ini kebanyakan penghuni rumah yang terjejas tinggal sementara di rumah ahli keluarga masing-masing sehingga kerosakan diatasi.
Sementara itu, seorang mangsa, Chai Chuk Yen, 50, berkata, ketika kejadian dia berseorangan di dalam rumah manakala suaminya ada urusan di Ipoh.
Katanya, semasa keluar rumah kelihatan struktur tanah mendap di hadapan kediaman jirannya.
"Saya ketika itu memang takut sebab duduk seorang sebab baru-baru ini pun rumah saya terjejas akibat ribut.
"Ini pertama kali berlaku dan saya harap sangat masalah ini diselesaikan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya yang juga peniaga nasi lemak.
Pada Sabtu, media melaporkan empat rumah terjejas susulan kejadian tanah mendap yang berlaku di hadapan kediaman tersebut di Lorong Teja Utama, Taman Teja, Tanjung Tualang di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!