Larian Keluarga Malaysia 2024 rentas politik

Pemenang bagi kategori Lelaki Veteran Larian Keluarga Malaysia 2024
Pemenang bagi kategori Lelaki Veteran Larian Keluarga Malaysia 2024
A
A
A

CYBERJAYA - Program Larian Keluarga Malaysia 2024 yang julung kali dianjurkan mendapat sambutan luar biasa dan akan dijadikan sebagai acara tahunan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM).

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu mampu merentasi politik apabila ia disertai peserta pelbagai latar belakang dan parti.

Menurutnya, larian yang bermula jam 6.30 pagi itu disertai oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

”Hari ini kita ada Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba; Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa); Bendahari DAP Selangor, Dr Ong Kian Ming dan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani.

Syed Saddiq (kiri), Ismail (tengah) bersama Khairy Jamaluddin (kanan) berjumpa dan berbual di garisan penamat pada Larian Keluarga Malaysia 2024.
Syed Saddiq (kiri), Ismail (tengah) bersama Khairy Jamaluddin (kanan) berjumpa dan berbual di garisan penamat pada Larian Keluarga Malaysia 2024.

“Dan ada juga bekas atlet-atlet negara. Ramai bekas atlet yang dilihat hadir iaitu Goh Liu Ying, Santokh Singh, K Rajagobal, Abdul Malek Mohamed Noor dan Zainal Abidin Hassan.

“Jadi, ia merentasi semua. Tak kira agama, bangsa, dari segi politik atau parti. Kita terbuka, keluarga Malaysia. Inilah keluarga Malaysia yang sebenar. Parti politik pembangkang pun datang,” katanya selepas menamatkan larian 5 kilometer (km) di Persiaran Floria, di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Tokpa sempat beramah mesra dengan peserta selepas tamat lariannya pada Ahad.
Tokpa sempat beramah mesra dengan peserta selepas tamat lariannya pada Ahad.

Penganjuran larian YKM julung kali ini menerima penyertaan daripada 10 negara, antaranya Jepun, Indonesia, Mesir, Kenya, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Antara dipertandingkan terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori 5km (fun run), 10km (race) dan 21km (half marathon).

Media rasmi yang turut terlibat dalam penganjuran larian YKM ialah Sinar Harian, FMT, Hot Fm dan Keluar Sekejap.

Pemenang kategori Lelaki Terbuka Men Open Larian Keluarga Malaysia 2024
Pemenang kategori Lelaki Terbuka Men Open Larian Keluarga Malaysia 2024

Mengulas lanjut, Ismail yang juga bekas Perdana Menteri itu memaklumkan lebih 1,000 anak yatim di seluruh negara akan menerima sumbangan daripada YKM dalam bentuk kewangan.

Beliau juga berharap agar sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat besar mampu membantu meringankan beban mereka yang kehilangan ibu atau bapa disebabkan Covid-19 lalu.

“Kita memberikan sumbangan sama ada hari raya, baju sekolah, masuk universiti dan sebagainya.

“Mereka ini sama ada salah seorang ataupun kedua-dua sekali (ibu bapa) yang meninggal akibat daripada Covid-19,” jelasnya.

Tambah Ismail, YKM akan menjaga anak-anak yatim berkenaan sehingga mereka melepasi 18 tahun.

“Kita akan jaga mereka sehingga mereka keluar dari universiti kalau mereka masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Dan mana yang tak masuk IPTA atau IPTS, kita akan jaga mereka sehingga umur 18 tahun,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ismail turut berharap aktiviti Larian Keluarga Malaysia tersebut bakal dilaksanakan lagi tahun pada hadapan.

“Program ini bagi saya ia berjaya, jadi boleh dilakukan, insya-ALLAH,” katanya ringkas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!