Lubnan berkabung 3 hari atas pembunuhan pemimpin Hizbullah
BEIRUT - Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati pada Sabtu mengumumkan tempoh berkabung di seluruh negara selama tiga hari susulan pembunuhan Setiausaha Agung Hizbullah Hassan Nasrallah yang mencetuskan kebimbangan terhadap konflik lebih meluas di rantau itu, lapor Agensi Anadolu.
Pejabat Mikati dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa bendera akan dikibarkan separuh tiang di semua jabatan kerajaan, institusi awam dan majlis perbandaran.
Kenyataan itu turut memaklumkan pejabat awam akan ditutup pada hari pengebumian Nasrallah. Bagaimanapun, Hizbullah belum mengumumkan tarikh pengebumian itu.
Tentera Israel memulakan serangan udara berskala besar di Lubnan awal minggu ini, membunuh ratusan orang dan memindahkan ribuan penduduk.
Ketegangan semakin memuncak selepas tentera rejim membunuh Nasrallah dan beberapa komander lain di Beirut pada Jumaat.
Tentera Israel terus mengebom beberapa bahagian ibu kota Lubnan pada Sabtu. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!