Formula kerjasama PH, BN perlu diteruskan - Anthony Loke

Barisan individu dan tetamu yang hadir pada majlis konvensyen berkenaan pada Ahad.
Barisan individu dan tetamu yang hadir pada majlis konvensyen berkenaan pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Formula kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) perlu diteruskan kerana ia dapat menyatukan sokongan pengundi daripada pelbagai latar belakang kaum di negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia terbukti apabila Kerajaan Perpaduan yang diwakili BN itu berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu.

"Ini merupakan kekuatan yang paling besar dalam Kerajaan Perpaduan kerana apa yang mahu dibawa dalam Kerajaan Perpaduan adalah satu politik kerjasama, muafakat yang menyatukan semua lapisan rakyat Malaysia daripada semua kaum, agama, mahupun wilayah.

"Sekiranya usaha ini diteruskan kita akan berjaya bukan sahaja dalam piihan raya malah kita akan angkat kerajaan kita dengan lebih efisien dengan lebih baik dan sebagai sebuah negara yang hebat," katanya pada majlis perasmian Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Perpaduan yang diwakili Syed Hussien Syed Abdullah (BN) berjaya menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dalam pilihan raya berkenaan.

Anthony Loke (kiri) ketika hadir pada konvensyen berkenaan.
Anthony Loke (kiri) ketika hadir pada konvensyen berkenaan.

Syed Hussein memperoleh 27,995 undi, jauh mengatasi Mohamad Haizan Jaafar yang hanya meraih 7,347 undi.

Mengenai kejayaan PRK DUN Mahkota, beliau berkata, ini merupakan petanda yang baik dan positif kerana berbanding dahulu sekiranya BN berlawan dengan PH dan PN, ada daerah yang mereka kalah khususnya di kawasan bukan Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi semalam jelas bahawa mereka menang di semua saluran dan kawasan, ini bukti kita dapat satukan rakyat daripada pelbagai kaum untuk menyokong agenda Kerajaan Perpaduan.

"Sekiranya diteruskan kerjasama ini dengan ikhlas dan jujur saya yakin kejayaan lebih besar diperoleh Kerajaan Perpaduan pada masa akan datang tetapi semua pihak kena meneruskan kerjasama ini," katanya.

Bagaimanapun beliau turut memaklumkan bahawa mereka tidak boleh cepat rasa selesa sebaliknya perlu faham sentimen pengundi boleh berubah pada bila-bila masa.

"Jadi, kita perlu sentiasa merendahkan diri dan perlu berusaha bersama-sama mencapai kejayaan lebih besar dengan memberikan prestasi lebih baik sebagai sebahagian daripada kerajaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!