Tiada ahli Pas terlibat dengan GISBH, Al-Arqam

Pas mengesahkan tiada ahli parti itu dikesan terlibat dengan kumpulan GISBH dan Al-Arqam.
Pas mengesahkan tiada ahli parti itu dikesan terlibat dengan kumpulan GISBH dan Al-Arqam.
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mengesahkan tiada ahli parti itu dikesan terlibat dengan kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan Al-Arqam.

Beliau berkata, Pas dan Al-Arqam merupakan dua entiti berbeza.

"Sekarang ini tiada ahli Pas yang dikesan terlibat dengan kumpulan itu.

"Saya yakin tiada (ahli) yang terlibat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Ke-55 di Istana Balai Besar, di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, setakat ini tiada penjawat awam negeri ini dikesan menjadi ahli GISBH.

Menurutnya, pada masa sama kerajaan Kelantan menunggu laporan lengkap siasat berhubung GISBH di negeri ini sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan perkara tersebut.

"Kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh segala aktiviti berkaitan kumpulan berkenaan. Kami (kerajaan negeri) tidak mahu membuat keputusan awal dan mendahului siasatan pihak berkuasa.

"Tetapi akan tetap memainkan peranan mengikut acuan perundangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, buat masa ini pihaknya menyerahkan kepada Polis dari sudut perundangan negara manakala dalam konteks agama, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).

Ujarnya, jika terbukti kegiatan GISBH di negeri ini melanggar peraturan dari sudut agama serta lain-lain perundangan, Kerajaan Kelantan bersedia mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam perkembangan sama, beliau dimaklumkan setakat ini GISBH dikesan mempunyai beberapa premis perniagaan, sebuah pusat pengajian dan hotel di Kelantan.

"Sekarang ini pihak Polis sedang menjalankan siasatan di semua tempat dan kita (kerajaan negeri) akan terima laporan daripada pihak berkuasa di mana jika terbukti ada perkara menyalahi undang-undang, kita pasti ambil tindakan.

"Kita tidak mahu buat keputusan awal. Tambahan pula Pengarah Eksekutif GISBH (Nasiruddin Mohd Ali) sedang didakwa di mahkamah. Jadi kita tunggu dan lihat dahulu perkembangannya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!