Siasatan 1BestariNet: SPRM bertemu bekas Menteri Pendidikan

SPRM sahkan mengadakan pertemuan dengan Dr Maszlee Malik bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai siasatan kes projek 1BestariNet. Foto hiasan
SPRM sahkan mengadakan pertemuan dengan Dr Maszlee Malik bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai siasatan kes projek 1BestariNet. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai siasatan kes projek 1BestariNet.

Mengikut sumber, pertemuan itu dibuat pegawai penyiasat minggu lepas.

"Siasatan kes ini masih dijalankan termasuk tindakan SPRM mendapatkan dokumen berkaitan dan keterangan beberapa individu," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara terbabit namun enggan mendedahkan maklumat lanjut.

Sebelum ini, Azam dilapor berkata siasatan membabitkan kes itu menumpukan kepada pembekalan data terhadap 8,000 sekolah seluruh negara sama ada ia dibekalkan mengikut spesifikasi kontrak ditetapkan.

Pada 6 September lepas, media melaporkan kenyataan Maszlee bahawa isu 1BestariNet menjadi antara faktor peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan pada Januari 2020.

Siasatan ke atas projek berkenaan termasuk juga terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011, dilapor dimulakan SPRM sejak 4 September lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!