Kerjasama BN-PH di Mahkota perlu jadi formula menang PRU16

Ching Tong (tengah) meraikan kejayaan BN memenangi PRK DUN Mahkota.- Foto FB Liew Chin Tong
Ching Tong (tengah) meraikan kejayaan BN memenangi PRK DUN Mahkota.- Foto FB Liew Chin Tong
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Mahkota memberi gambaran formula terbaik untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) adalah dengan kerjasama rapat Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, keputusan di Mahkota menjadi petanda baik kepada parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan memupuk kerjasama yang lebih erat.

"Syed Hussien memperolehi 27,995 undi, iaitu 79 peratus daripada jumlah undi, manakala lawannya calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar hanya mendapat 7,347 undi. Majoriti yang diperolehi Syed Hussien adalah 20,648 undi.

"Pada pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022, berlaku pertandingan tiga penjuru di Mahkota, dengan Barisan Nasional mendapat 16,611 undi, Pakatan Harapan 11,445 undi manakala Perikatan Nasional 7,614 undi di kerusi DUN ini.

"Apabila kita gabungkan undi yang diperolehi kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Harapan pada PRN Johor, jumlahnya adalah 28,056 undi, hampir sama dengan keputusan PRK semalam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menambah melalui kempen dan pujukan bersungguh-sungguh di Mahkota, kebanyakan pengundi PH sudi memindahkan undi mereka kepada BN.

"Melalui kerjasama yang lebih kukuh ini serta pentadbiran yang lebih cekap, adil dan meyakinkan, lebih ramai pengundi atas pagar, terutama mereka yang tidak keluar mengundi semalam, akan dapat dipujuk untuk kembali menyokong Kerajaan Perpaduan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan Perpaduan perlu memenangi pilihan raya akan datang melalui kerjasama PH-BN untuk kestabilan dan kesinambungan pentadbiran demi kesejahteraan negara," katanya yang juga ADUN Perling dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Dengan kemenangan itu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih besar, empat kali ganda berbanding dicatatkan parti di kerusi sama pada Pilihan raya Negeri 2022.

PRK DUN Mahkota dalam Parlimen Kluang diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!