Kerajaan negeri digesa beri peluang sama rata kepada kontraktor Kelas F

Zainol Fadzi (tengah) turut bersama-sama peserta di dalam program Kayuhan Hari Malaysia anjuran Pusat Khidmat ADUN Sungai Manik di Langkap pada Ahad.
Zainol Fadzi (tengah) turut bersama-sama peserta di dalam program Kayuhan Hari Malaysia anjuran Pusat Khidmat ADUN Sungai Manik di Langkap pada Ahad.
A
A
A

TELUK INTAN - Kerajaan negeri Perak digesa tidak pilih kasih dalam memberi peluang kepada kontraktor Kelas F di negeri ini untuk mendapatkan sebarang projek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, latar belakang politik seseorang usahawan atau kontraktor tidak seharusnya menjadi alasan untuk mereka diberikan peluang.

Menurutnya, beberapa rungutan diterima daripada usahawan khususnya kontraktor kelas F yang mendakwa mereka tidak mendapat peluang sewajarnya daripada kerajaan negeri.

"Saya mengesyorkan kepada kerajaan negeri agar tidak melihat latar belakang usahawan-usahawan sebab ada rungutan dalam kalangan usahawan khususnya Kelas F yang merasakan diri mereka dipinggirkan disebabkan mereka tidak berada di dalam kelompok politik parti-parti kerajaan.

"Ini menafikan hak mereka sebagai rakyat. Mereka usahawan, tak kiralah latar belakang mereka apa dan ada juga sesetengah jabatan secara terang-terang menyebut jangan bagi orang-orang ini sebab dia dari Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), sebab dia orang Pas. Ini sepatutnya tidak berlaku," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena program Kayuhan Hari Malaysia anjuran Pusat Khidmat ADUN Sungai Manik di Langkap di sini pada Ahad.

Zainol Fadzi (belakang, enam dari kiri) bersama sebahagian peserta yang terlibat di dalam program Kayuhan Hari Malaysia anjuran Pusat Khidmat ADUN Sungai Manik di Langkap pada Ahad.
Zainol Fadzi (belakang, enam dari kiri) bersama sebahagian peserta yang terlibat di dalam program Kayuhan Hari Malaysia anjuran Pusat Khidmat ADUN Sungai Manik di Langkap pada Ahad.

Zainol Fadzi yang juga Setiausaha Bersatu Perak berkata, ketika kerajaan PH Perak diterajui Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini, tindakan sedemikian tidak berlaku sebaliknya semua usahawan yang layak dan berkemampuan diberikan peluang.

Artikel Berkaitan:

"Saya minta Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Menteri Besar lihat perkara ini kerana ia sesuatu yang serius tak kira kami ini ahli Bersatu atau ahli Pas, kami tetap rakyat negeri Perak dan peluang sepatutnya diberikan seadil-adilnya sebab kalau tidak betul, tolong betulkan.

"Kalau kenyataan saya salah, saya mohon maaf tetapi ini apa yang disuarakan oleh usahawan-usahawan khususnya kontraktor Kelas F yang berada banyak di daerah," katanya.

Dalam pada itu Zainol Fadzi turut meluahkan rasa terkilan terhadap beberapa agensi kerajaan yang enggan bekerjasama dengan wakil rakyat pembangkang untuk menjalankan program-program komuniti.

Beliau bagaimana pun tidak menyalahkan kakitangan agensi terbabit kerana memahami mereka terpaksa mengikut arahan pihak tertentu.

"Saya nak ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada banyak jabatan dan agensi khususnya PDRM yang tidak melihat soal latar belakang saya sebagai seorang pembangkang tetapi dapat juga membantu memastikan keselamatan peserta dalam kayuhan.

"Saya sentuh perkara ini kerana merasakan agak terkilan juga kerana terdapat agensi-agensi yang tak mahu bekerjasama dengan saya dan ramai ADUN-ADUN pembangkang kerana mungkin menerima arahan daripada pihak tertentu tetapi sebenarnya mereka mahu berkhidmat," katanya.

Zainol Fadzi berkata, penghargaan harus diberikan kepada jabatan mahu pun agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terus mengadakan kaunter bergerak di kawasannya seperti dimulakan sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!