Bongkar kegiatan 'transporter' hantar pelacur

Polis menahan pemandu disyaki berperanan sebagai 'transporter' yang menghantar pelacur asing di ibu negara pada Sabtu.
Polis menahan pemandu disyaki berperanan sebagai 'transporter' yang menghantar pelacur asing di ibu negara pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan pelacuran wanita Thailand, Indonesia dan Vietnam secara dalam talian dengan tawaran bayaran tempahan mencecah RM1,700 dibongkar dalam serbuan di sini pada Sabtu.

Serbuan dijalankan sepasukan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur yang diketuai Asisten Superintenden Saifulazhar Abd Khodir.

Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Mohd Razali Mohd Idrus berkata, Op Noda Khas bermula jam 9 malam di tiga hotel dan sebuah residensi itu berjaya menahan 15 individu berusia lingkungan 21 hingga 47 tahun.

Menurutnya, empat lelaki berperanan sebagai 'transporter', manakala 11 wanita asing disyaki adalah pelacur.

"Polis telah mengenal pasti satu laman web yang menawarkan kegiatan pelacuran kebanyakannya dari Thailand, Indonesia serta Vietnam.

"Melalui laman web ini, pelanggan boleh memilih pelacur asing ini dengan harga RM400 bagi satu jam, RM750 (4 jam), RM1,100 (7 jam) dan RM1,700 (11 jam)," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, setelah ditempah pelacur dihantar oleh 'transporter' ke lokasi yang ditetapkan oleh pelanggan di hotel sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, wanita ini juga boleh ditempah untuk pelanggan yang mengadakan parti liar.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Razali, serbuan ini telah merampas tiga kereta dan pelbagai barang antaranya 45 kondom, tujuh botol minyak pelincir, 16 telefon bimbit serta wang tunai RM1,351.

"Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!