Perluas operasi kesan pemandu kenderaan berat langgar peraturan, positif dadah

Anthony Loke (enam kanan) ketika hadir merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20 pada Ahad.
Anthony Loke (enam kanan) ketika hadir merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20 pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pengangkutan akan memperluaskan pelaksanaan operasi bersepadu bagi memastikan pemandu kenderaan berat mematuhi peraturan selain tidak berada dalam pengaruh dadah.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan operasi berkenaan dengan menyasarkan pemandu bas ekspres dan persiaran, hasilnya ramai pemandu telah dikesan positif dadah.

"Sekarang kita sedang fokus kepada kenderaan perdagangan dan berat, memang perkara ini diberikan perhatian yang cukup berat oleh pihak JPJ.

"Operasi yang lebih ketat akan diadakan untuk memastikan bahawa pemandu yang bawa kenderaan berat ini mematuhi peraturan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian dua kemalangan maut di daerah ini baru-baru ini yang melibatkan dua buah lori yang merempuh beberapa buah kenderaan lain.

Hasil siasatan polis mendapati kedua-dua pemandu lori terbabit turut positif dadah jenis methaphetamine.

Dalam pada itu, Anthony turut mengingatkan syarikat lori yang terlibat dalam kejadian seumpamanya termasuk membenarkan individu positif dadah memandu kenderaan terbabit turut tidak terlepas untuk diambil tindakan undang-undang.

"Mana-mana syarikat yang membenarkan pemandu yang positif dadah ini memandu dan mengakibatkan kemalangan juga akan diambil tindakan, bukan sahaja pemandu tetapi pemilik syarikat juga.

Artikel Berkaitan:

"Ini telah kita buat dalam kes (kemalangan) bas persiaran di Genting Highlands, bukan hanya pemandu dituduh di mahkamah malah pemilik syarikat juga dituduh ke mahkamah kerana kecuaian mereka.

"Saya mahu ingatkan kepada pemilik syarikat bahawa mereka ada tanggungjawab untuk memastikan pemandu mereka ini berhemah dan tidak menyalahgunakan lesen memandu mereka. Paling penting memandu dengan berhemah, sebagai pemandu yang baik dan bukan terbabit dengan dadah," katanya.

Sebelum itu, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP hadi merasmikan Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20 di sini pada Ahad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!