Polis tahan tiga lelaki disyaki pecah rumah

Tiga lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Kulai pada Sabtu. - Gambar hiasan
Tiga lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Kulai pada Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

KULAI - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar daerah ini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kesemua lelaki warga tempatan berusia 25 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kulai di dua lokasi berbeza, sekitar jam 8.45 pagi Sabtu.

"Ketika menahan suspek, polis turut merampas 13 telefon bimbit pelbagai jenama, dua utas jam tangan berjenama, sebuah kamera, dua beg berjenama, sebentuk cincin, dua topi keledar berjenama dan pelbagai barangan lain dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.

"Tangkapan ketiga-tiga suspek dipercayai berjaya menyelesaikan 12 kes pecah rumah dan kes curi kenderaan di Kulai.

"Siasatan masih diteruskan bagi mendedahkan penglibatan ketiga-tiga suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan di luar Kulai," katanya.

Seng Lee berkata, hasil semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah manakala ujian air kencing turut mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama enam hari mulai Ahad hingga Jumaat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan mencuri itu yang dilakukan kali kedua atau seterusnya maka hendaklah juga dikenakan hukuman sebat.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!