Pelumba Malaysia sapu bersih kejuaraan Rimba Raid Lenggong 2024

Shamsul Anuar (kiri) menyampaikan hadiah kepada Juara Rimba Raid 2024 Kategori A mewakili Malaysia Mohd Zulkarnain Tahir (tengah) di Resort Tasik Raban Lenggong hari ini. Foto Bernama
Shamsul Anuar (kiri) menyampaikan hadiah kepada Juara Rimba Raid 2024 Kategori A mewakili Malaysia Mohd Zulkarnain Tahir (tengah) di Resort Tasik Raban Lenggong hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA Malaysia menyapu bersih gelaran juara semua kategori dalam perlumbaan motosikal lasak Rimba Raid Lenggong 2024 yang berlangsung selama lima hari bermula 25 September lepas di sini.

Bagi kategori Kelas A, Mohd Zulkarnain Tahir dinobatkan selaku juara apabila mencatat masa 5 jam (j) 51 minit (m) 45 saat (s), manakala tempat kedua disandang Shamsul Azhar Abu Hazim dengan catatan 5j 58m 25s manakala ketiga menjadi milik Charles Loo (6j 26m 47s).

Kategori kelas B pula menyaksikan kejuaraan menjadi milik Ahmad Lezzam yang merekodkan masa 5j 23m 42s, manakala kedudukan kedua digenggam Ahmad Danial Haiqal Ahmad Shamsul Nizam Surib (5j 30m 15s) dan ketiga pelumba Korea Selatan Jae Heon Jeong (5j 30m 58s).

Juara Kategori B yang mewakili Malaysia Ahmad Iezzam menunjukkan Anugerah yang dimenangi pada Rimba Raid 2024 di Resort Tasik Raban Lenggong hari ini. Foto Bernama
Juara Kategori B yang mewakili Malaysia Ahmad Iezzam menunjukkan Anugerah yang dimenangi pada Rimba Raid 2024 di Resort Tasik Raban Lenggong hari ini. Foto Bernama

Dalam kategori kelas C, gelaran juara menjadi milik Muhammad Hazlami Mustapha Kamaly yang mencatatkan masa 5j 6m 33s, manakala pelumba Indonesia Wawan Kadri tempat kedua selepas merekodkan 5j 12m 6s dan kedudukan ketiga diraih Muhamad Amirul Ramli (5j 14m 37s).

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee telah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pada majlis penutup pertandingan itu yang berlangsung di Resort Tasik Raban di sini.

Rimba Raid Lenggong 2024 yang diiktiraf sebagai perlumbaan motosikal lasak terpanjang di Asia dengan jarak laluan 300 kilometer telah disertai 279 peserta dari 25 negara.

Sementara itu, Shamsul Anuar dalam ucapannya berkata penganjuran kejohanan itu akan diteruskan di Lenggong pada tahun depan selain disertai lebih ramai pelumba tempatan dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata ia secara tidak langsung memberi nilai tambah sekali gus mempromosi Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebelum ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!