10 maut, 24 cedera insiden bas langgar lori
NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 24 yang lain cedera selepas bas yang membawa mereka melanggar sebuah lori yang berhenti di negeri Madhya Pradesh, tengah India, menurut polis pada Ahad, lapor Xinhua.
Kemalangan itu berlaku lewat Sabtu malam di kawasan balai polis Nadan Dehat di daerah Maihar, kira-kira 490 kilometer timur laut Bhopal, ibu kota Madhya Pradesh.
"Lima orang meninggal dunia di tempat kejadian manakala 29 lagi dikejarkan ke Hospital Satna. Lima lagi mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Dua penumpang dalam keadaan kritikal," kata seorang pegawai kanan polis.
Menurut polis, pasukan penyelamat menggunakan jentolak dan pemotong keluli untuk menyelamatkan penumpang yang terperangkap di dalam bas yang remuk.
Polis telah mengarahkan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu. Bas malang berkenaan datang dari Uttar Pradesh dan menuju ke Nagpur di Maharashtra. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!