Ambulans terbalik elak motosikal terbabas

Sebuah ambulans terbalik setelah terbabas mengelak sebuah motosikal di KM115.2 LPT pada Ahad. Foto Ihsan PDRM
Sebuah ambulans terbalik setelah terbabas mengelak sebuah motosikal di KM115.2 LPT pada Ahad. Foto Ihsan PDRM
A
A
A

TEMERLOH - Empat kakitangan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan berdepan detik cemas selepas ambulans dinaiki mereka terbalik setelah terbabas di Kilometer (KM)115.2 Lebuhraya Pantai Timur(LPT) di laluan menghala ke Kuantan dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, dua penumpang mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila ambulans dari arah Selayang menghala ke arah HTAA Kuantan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, ambulans yang berada di lorong kanan ternampak sebuah motosikal terbabas di hadapan.

"Ambulans terbabit dipercayai hilang kawalan semasa cuba mengelak motosikal tersebut, lalu terbabas melanggar penghadang besi di tepi jalan kanan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada perlanggaran berlaku dengan motosikal tersebut.

Jelasnya, dua penumpang iaitu seorang pemandu ambulans lelaki berusia 42 tahun yang duduk di bahagian hadapan dan seorang jururawat lelaki berusia 34 tahun mengalami kecederaan ringan.

"Dua lagi iaitu pembantu pemandu ambulans lelaki berusia 43 tahun dan jururawat wanita berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Mazlan, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Kaedah R10 LN166/59.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!