Tidak perlu ragu-ragu, SSPA tiada yang kurang - Cuepacs

Adnan (empat dari kiri) ketika melancarkan buku 'Kerjaya Sebagai Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Edisi 2.0' pada Ahad.
Adnan (empat dari kiri) ketika melancarkan buku 'Kerjaya Sebagai Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Edisi 2.0' pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - Masih ada penjawat awam yang ragu-ragu untuk menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuatkuasa 1 Disember ini.

Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, bagaimanapun perkara itu hanya melibatkan sebahagian kecil penjawat awam.

"Prinsipnya mudah... SSPA ini membabitkan kenaikan gaji dan keduanya, tidak ada apa-apa pun pengurangan berlaku cuma mungkin sebahagian dapat lebih, sebahagian setara, sebahagiannya masih dalam keadaan biasa.

"Apa yang penting tiada apa yang kurang maka dengan itu tidak ada keperluan dari segi ragu-ragu.

"Terus sahaja menandatangani untuk kita dapatkan gaji lebih baik dan pada masa sama sebarang keluh kesah mereka akan diambil kira oleh Cuepacs," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai merasmikan program sempena sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia anjuran Persatuan Pegawai Kesihatan Persekitaran Malaysia (EHOM) di sini pada Ahad.

Antara individu yang hadir sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia anjuran Persatuan Pegawai Kesihatan Persekitaran Malaysia (EHOM) pada Ahad.
Antara individu yang hadir sempena Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia anjuran Persatuan Pegawai Kesihatan Persekitaran Malaysia (EHOM) pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi pandangan Cuepacs bahawa sistem tersebut semuanya adalah tertib dan boleh dibuat penambahbaikan di mana perlu untuk memenuhi kehendak sebahagian skim yang mana berasa mereka tertinggal.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya, Cuepacs memohon agar kerajaan mempertimbangkan untuk menambah jawatan Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) sekurang-kurangnya 1,000 orang yang ketika ini terdapat kira-kira 5,000 orang menjawat jawatan itu di seluruh negara.

"Ia bertujuan pelaksanaan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] yang telah diwartakan dan akan dikuatkuasakan bermula 1 Oktober ini sekali gus mengelakkan PKP dan PPKP terbeban dengan tugasan sedia ada," katanya.

Sebelum itu, pada majlis berkenaan turut diadakan pelancaran buku 'Kerjaya Sebagai Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Edisi 2.0'.

Buku ini merupakan edisi kemas kini daripada edisi pertama yang telah dilancarkan pada tahun 2014 yang menyentuh tentang sejarah, peranan, kelayakan ikhtisas, bidang tugas dan lain-lain berkaitan suatu profesion yang kerap terselindung di belakang tabir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!