Bali giat pemberian vaksinasi rabies haiwan peliharaan

Kerajaan Bali mempercepatkan vaksinasi anjing dan kucing untuk mencegah penularan virus rabies. Foto hiasan
Kerajaan Bali mempercepatkan vaksinasi anjing dan kucing untuk mencegah penularan virus rabies. Foto hiasan
A
A
A

DENPASAR - Kerajaan Bali mempercepatkan vaksinasi anjing dan kucing untuk mencegah penularan virus rabies di provinsi itu, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).

"Kita mesti menjadikan Bali bebas daripada rabies," kata setiausaha daerah provinsi Bali, Dewa Made Indra semasa acara vaksinasi anjing dan kucing di Denpasar pada Ahad.

Untuk mencapai matlamat ini, acara vaksinasi percuma untuk haiwan yang terdedah kepada rabies, seperti anjing dan kucing, sedang dipergiatkan. Inisiatif terbaru itu dianjurkan oleh Persatuan Veterinar Indonesia (PDHI) Bali.

Indra menyatakan kira-kira 30 peratus daripada populasi anjing di Bali belum divaksinasi, manakala wilayah itu menyasarkan untuk bebas rabies menjelang 2030.

Menurut data daripada Perkhidmatan Pertanian dan Keselamatan Makanan Bali, program vaksinasi termasuk anjing liar. Setakat ini, vaksinasi telah mencapai kira-kira 426,000 anjing atau 70.53 peratus daripada anggaran 605,000 populasi anjing.

"Ini bermakna masih terdapat 30 peratus anjing yang perlu kita vaksin, tetapi angka ini tidak tetap, kerana anjing dan haiwan lain terus membiak," tambahnya.

Beliau menggesa orang ramai untuk terus berwaspada terhadap rabies dan menghalang anjing dan kucing mereka daripada berkeliaran dengan bebas.

Indra menasihatkan sesiapa yang digigit anjing untuk mendapatkan rawatan segera di hospital atau kemudahan kesihatan berdekatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi PDHI Bali, I Dewa Made Anom menjelaskan bahawa persatuan itu kini menyediakan 300 dos vaksin rabies untuk anjing dan kucing.

Pada masa ini, PDHI Bali mempunyai 3,500 dos vaksin anti-rabies yang boleh diakses oleh orang ramai melalui PDHI Bali. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!