LTdL 2024: Izzat Hilmi mahu terus buru podium
PELUMBA Malaysia Pro Cycling (MPC) Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil belum berpuas hati dengan kayuhannya yang sekadar membolehkan beliau bergelar pelumba terbaik Malaysia pada saingan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 hari ini.
Izzat Hilmi, 29, yang sebelum ini menyatakan misi memburu kedudukan podium sulung, menamatkan saingan perlumbaan di kedudukan ketujuh membabitkan jarak 96.5 kilometer (km) dari Kuah ke sekitar Pulau Langkawi di sini.
Bagaimanapun, pakar pecut pasukan MPC itu menganggap saingan perlumbaan peringkat pertama itu tetap berakhir dengan keputusan positif.
"Secara keseluruhan, boleh dikatakan puas hati juga dengan perlumbaan. Sasaran saya sebenarnya mahu berada di podium di peringkat pertama namun tidak kesampaian.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semuanya selamat dan tidak mengalami kecederaan sepanjang perlumbaan. Saya memang tidak akan berpuas hati selagi tidak sampai ke podium," katanya selepas tamat perlumbaan.
Dalam pada itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli berazam mahu mempertahankan gelaran Pelumba Terbaik Asia yang diraihnya hari ini.
Beliau yang mengutip empat mata berharap kayuhan konsistennya berkekalan sepanjang baki perlumbaan.
Saingan LTdL 2024 beralih ke perlumbaan peringkat kedua dari Arau ke Butterworth esok, sejauh 154.5 kilometer (km) membabitkan tiga zon pecutan di Jitra, Menara Alor Setar dan Sungai Petani. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!