Houthi lancar peluru berpandu, sasar Netanyahu

Kumpulan Houthi Yaman telah melepaskan peluru berpandu balistik ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di tenggara Tel Aviv pada Sabtu.
Kumpulan Houthi Yaman telah melepaskan peluru berpandu balistik ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di tenggara Tel Aviv pada Sabtu.
A
A
A

YAMAN - Kumpulan Houthi Yaman telah melepaskan peluru berpandu balistik ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di tenggara Tel Aviv pada Sabtu.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mengesahkan serangan ke atas lapangan terbang itu, dengan menyasarkan ketibaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang pulang dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di New York.

Memetik laporan Reuters, dia berkata, operasi itu dilaksanakan menggunakan peluru berpandu balistik "Palestin 2" dan berikrar untuk terus bertindak balas terhadap Israel.

"Angkatan Bersenjata Yaman (Houthi), bersama dengan semua rakyat yang terhormat dan bebas di negara ini, akan terus bertindak balas terhadap jenayah musuh Israel dan tidak akan teragak-agak meningkatkan (serangan) sebagai tindak balas kepada keperluan situasi dan dalam mempertahankan Gaza dan Lubnan.

"Operasi ini tidak akan berhenti sehingga pencerobohan terhadap Gaza dan Lubnan dihentikan," katanya.

Sementara itu, tentera Israel pada Sabtu mendakwa telah memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman ke arah Israel.

Tentera dalam satu kenyataan ringkas berkata, peluru berpandu permukaan ke permukaan itu dikesan dan dipintas oleh pejuang pertahanan udara di luar sempadan negara.

Kumpulan Houthi telah menyasarkan kapal yang dimiliki, berlabuh, atau dalam perjalanan ke pelabuhan Israel di Laut Merah dan Teluk Aden dengan peluru berpandu dan dron sebagai tanda solidariti kepada Gaza, yang berdepan serangan hebat oleh Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!