Koronavirus: HKL siasat remaja Kanada pengsan di KLCC
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Hospital Kuala Lumpur (HKL) melakukan siasatan terhadap seorang remaja warga Kanada bagi mengenal pasti punca sebenar termasuk kaitan koronavirus selepas dia dilaporkan pengsan di lot parkir berhampiran Menara Berkembar KLCC, hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ambulan HKL dikejarkan ke Pusat Perubatan Menara Berkembar itu selepas mendapat panggilan berhubung kes tersebut.
"Remaja berusia 17 tahun berkenaan ditempatkan di wad isolasi HKL untuk pemantauan," katanya pada sidang media perkembangan koronavirus di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp.
Dr Dzulkefly berkata, semua langkah telah diambil bagi memastikan sebarang kemungkinan.
"Perkara yang dalam fikiran kami adalah koronavirus, tetapi ia boleh jadi disebabkan penyakit lain yang mungkin berkaitan dengan jantung," katanya.
"Remaja itu tiba di negara ini dari Indonesia, semalam. Dia sebelum ini menetap selama 15 tahun di Shanghai, China," katanya.
Terdahulu, sekeping gambar pasukan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di lokasi itu turut tular di media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Dua rakyat Malaysia disahkan positif
KKM sahkan kes pertama warganegara Malaysia positif koronavirus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!