Op global: Kronologi kes GISBH setakat 29 September

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Op Global yang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama yang dikaitkan dengan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kini memasuki fasa empat.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, lebih 300 orang termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, 572 mangsa diselamatkan serta lapan individu telah dituduh di mahkamah atas 33 pertuduhan.

Berikut adalah kronologi kes yang dikemas kini dari 28-29 September 2024:

28 September

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan media hari ini berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan dibuat melalui akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS), mengenai kewujudan pusat kuarantin GISBH di beberapa lokasi dalam dan luar negara.

Beliau berkata, pusat kuarantin itu dipercayai digunakan untuk aktiviti indoktrinasi serta penderaan mental terhadap ahli GISBH yang bermasalah.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI), hanya akan mengeluarkan pandangan hukum mengenai GISBH dan bukan fatwa.

Beliau berkata, fatwa berkaitan GISBH akan diputuskan oleh setiap negeri di negeri masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, sebahagian kanak-kanak penghuni rumah amal dikaitkan dengan GISBH, berdepan risiko diisytihar anak wati’ syubhah, iaitu anak yang lahir daripada persetubuhan tidak sah jika tiada pengakuan nasab yang sahih daripada ibu bapa mereka.

Beliau berkata, dalam undang-undang syariah khususnya melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 menetapkan bahawa, pengiktirafan nasab seseorang anak bergantung kepada status pernikahan ibu dan bapa.

Di Selangor, permohonan polis untuk mereman tujuh individu berusia 18 hingga 55 tahun selama tujuh hari, bagi membantu siasatan berkaitan kes GISBH dibenarkan Mahkamah Majistret Shah Alam, di sini hari ini.

Kesemua mereka dipercayai empat isteri pemimpin kanan GIBSH, dengan seorang daripadanya warga asing serta dua wanita dan seorang lelaki, ditahan di sekitar Rawang, pada Jumaat malam.

Dalam pada itu, Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Fikri Naim Harun mengesahkan LZS tidak pernah menerima sebarang jenis bayaran zakat daripada GISBH dan anak syarikatnya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula berkata, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan dengan mengarahkan semua premis GISBH di negeri ini ditutup, serta merampas segala aset syarikat berkenaan.

29 September

Di Selangor, tempoh reman dua individu berumur dalam lingkungan 50-an termasuk seorang dipercayai berperanan sebagai pengendali aliran tunai untuk GISBH yang tamat hari ini, dilanjutkan selama lima hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, di sini.

Di Kelantan, Mahkamah Majistret Machang membenarkan tempoh reman terhadap seorang mudir sebuah sekolah rendah integrasi berusia 66 tahun yang dikaitkan dengan GISBH disambung tiga hari bermula esok bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tiada ahli Pas Kelantan terlibat dengan GISBH atau Al-Arqam, dan menegaskan kedua-dua entiti tersebut adalah berbeza. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!