Israel serang Pelabuhan Hodeidah, Yaman
SHAH ALAM - Selepas Lubnan, tentera Israel dilaporkan melakukan serangan di Pelabuhan Hodeidah, Yaman pada Ahad.
Memetik laporan AlJazeera, perkara tersebut disahkan oleh rejim Zionis yang mengatakan berpuluh-puluh pesawat tentera udara digunakan dalam serangan berkenaan.
Serangan itu dilakukan dengan menyasarkan bangunan loji jana kuasa dan kemudahan fasiliti minyak yang terdapat di kawasan tersebut.
Tentera Israel dalam hantaran di aplikasi X berkata, alasan loji jana kuasa dan pelabuhan laut itu diserang kerana tempat tersebut dipercayai merupakan lokasi di mana Kumpulan Houthi Yaman memindahkan senjata Iran ke wilayah berkenaan.
Kumpulan Houthi Yaman telah menyasarkan kapal yang dimiliki, berlabuh, atau dalam perjalanan ke pelabuhan Israel di Laut Merah dan Teluk Aden dengan peluru berpandu dan dron sebagai tanda solidariti kepada Gaza, yang berdepan serangan hebat oleh Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.
Kumpulan Houthi Yaman pada Ahad dilaporkan telah melepaskan peluru berpandu balistik ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di tenggara Tel Aviv pada Sabtu.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mengesahkan serangan ke atas lapangan terbang itu, dengan menyasarkan ketibaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang pulang dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di New York.
Rejim Zionis memulakan serangan udara berskala besar di Lubnan awal minggu ini, membunuh ratusan orang dan memindahkan ribuan penduduk.
Ketegangan semakin memuncak selepas tentera Israel membunuh Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah dan beberapa komander lain di Beirut pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!