FAM kena biasakan hantar Harimau Muda ke kejohanan besar

Farish Danish (kanan) dan Haykal Danish antara pemain yang mengalas cabaran Harimau Muda B-19 di Dushanbe. Foto FAM
Farish Danish (kanan) dan Haykal Danish antara pemain yang mengalas cabaran Harimau Muda B-19 di Dushanbe. Foto FAM
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) perlu merangka strategi dinamik bagi membentuk skuad remaja yang ampuh bermula pada usia muda dalam usaha membiasakan mereka dengan pertandingan dan tidak berlaku 'kejutan' apabila menyertai kejohanan besar di pentas antarabangsa.

Penganalisis sukan, Safirul Azli Abu Bakar berkata, pendekatan tersebut boleh dilakukan menerusi penganjuran kem latihan berpusat yang lebih kerap berbanding ketika ini para pemain dikumpulkan apabila ada sesuatu kejohanan.

Beliau berkata, ia perlu dilakukan secara konsisten mengikut peringkat umur bermula dari 13 hingga 19 tahun menerusi kerjasama pelbagai pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan.

“Kem latihan pusat ini boleh dijalankan di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Kuantan dan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT).

“Peranan ini juga boleh dimainkan oleh barisan kejurulatihan di FAM, pencari bakat dan kelab-kelab bola sepak di seluruh negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail sebelum ini menyifatkan prestasi dipamerkan skuad Harimau Muda B-19 sepanjang saingan Kelayakan Kumpulan E Piala Asia B-20 2025 di Dushanbe sebagai positif.

Malah Jamal juga mahu potensi pemain-pemain muda kendalian Juan Torres Garrido ini dikembangkan lagi agar lebih menyerlah pada masa depan khasnya sebagai persediaan untuk Kelayakan Piala Asia B-23.

Sementara itu, Safirul Azli juga menjelaskan pemain-pemain muda itu perlu didedahkan dengan banyak kejohanan di peringkat remaja, belia dan Piala Presiden selain mengadakan perlawanan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Apabila biasa bertanding dan menyertai kejohanan tidak berlaku kejutan apabila menyertai kejohanan besar di pentas Asia. Sebab sejak usia muda lagi seperti umur 13 tahun sudah biasa berlawan dengan para pemain dari Korea Selatan, Jepun, Thailand dan Vietnam,” katanya.

Safirul melihat kelompok pemain di bawah usia 19 tahun ini mempunyai kualiti tersendiri dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi menerusi proses yang dinamik, tersusun dan konsisten.

“Kumpulkan mereka dalam kelompok 30 hingga 50 pemain bagi setiap kali kem latihan pusat. Kita perlu mempunyai 'kolam besar' (pemain) yang berpotensi dan digilap dengan cara sistematik untuk menjadi seorang atlet profesional berwibawa,” katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!