Isteri orang ditangkap khalwat
KULIM - Seorang pekerja pasar raya dan seorang wanita dipercayai masih berstatus isteri orang ditahan pegawai penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim kerana disyaki berkhalwat.
Mereka ditahan di sebuah rumah di Taman Meranti pada jam 1.46 pagi tadi.
Ketua Unit Pencegahan Dan Penguatkuasaan Pejabat Agama Islam Daerah Kulim, Azwan Azman berkata, siasatan mendapati wanita dari Baling, Kedah berusia 23 tahun itu bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak manakala pasangannya beralamat di Gombak, Selangor.
Katanya, ketika diserbu lelaki terbabit tidak memakai baju dan berseluar panjang manakala pasangannya mengenakan singlet dan berseluar pendek.
"Ketika serbuan, pegawai kami menunggu agak lama selepas mengetuk pintu. Wanita terbabit mendakwa dia kini dalam proses perceraian," katanya.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah (EKJSNK) kerana disyaki berkhalwat.
Azwan memberitahu, seorang wanita berusia 29 tahun yang berada dalam rumah itu disiasat mengikut Seksyen 39 EKJSNK kerana bersubahat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!