Siapa Hassan Nasrallah

Ketua Hizbullah,Hassan Nasrallah ketika menyampaikak ucapan di Beirut pada 2006. - AFP
Ketua Hizbullah,Hassan Nasrallah ketika menyampaikak ucapan di Beirut pada 2006. - AFP
A
A
A

BEIRUT - Israel mengumumkan pada hari Sabtu bahawa tenteranya telah membunuh Hassan Nasrallah, Setiausaha Agung Hizbullah.

Kematian Hassan bakal menandakan kebencian yang semakin membuak-buak terhadap Israel di Asia Barat.

Seorang pegawai Israel berkata bahawa tentera Zionis itu telah menyasarkan Hassan, seorang pemimpin yang telah mengetuai kumpulan pejuang disokong Iran sejak tiga dekad lalu, dalam serangan besar-besaran di pinggir bandar selatan Beirut.

“Hassan Nasrallah tidak akan lagi dapat mengganas dunia,” kata Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam catatan di X.

Dalam pada itu, Hizbullah telah mengesahkan pada Sabtu bahawa Hassan, 64, telah terbunuh dalam serangan tersebut.

SIAPA HASSAN

Di bawah kepimpinan Hassan, Hizbullah menjadi kumpulan separa tentera yang disokong Iran paling kuat di Asia Barat dengan dilengkapi senjata peluru berpandu balistik yang mampu menghancurkan Israel.

Beliau pernah menyeru pembebasan Baitulmaqdis dan memuji serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel sebagai 'operasi sangat berani, hebat dan besar-besaran'.

Artikel Berkaitan:

Sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin, Hizbullah turut melancarkan roket dan dron milik mereka yang menyasarkan Israel di utara.

Sejak itu, Hizbullah telah berikrar meneruskan kempennya terhadap Israel sehingga ia menamatkan serangan hampir setahun di Gaza yang kini mengorbankan lebih 41,000 orang yang kebanyakan wanita dan kanak-kanak.

Penyokong Hizbullah memegang potret Hassan Nasrallah semasa mengadakan perarakan di di bandar Nabatiyeh pada tahun 2022. - AFP
Penyokong Hizbullah memegang potret Hassan Nasrallah semasa mengadakan perarakan di di bandar Nabatiyeh pada tahun 2022. - AFP

Hassan dilahirkan dalam keluarga miskin Syiah di Beirut pada tahun 1960 dan dibesarkan di daerah Karantina.

Beliau belajar teologi atau kajian sistematik tentang sifat ketuhanan secara lebih luas, serta kepercayaan terhadap agama dan selepas perang saudara meletus di Lubnan, Hassan menyertai Gerakan Amal, sebuah organisasi politik dan separa tentera Lubnan yang mempunyai hubungan dengan Iran.

Beliau juga telah mengembara ke Najaf di Iraq, salah satu bandar paling suci dalam kalangan penganut Syiah, di mana di situ dia belajar di seminari, sebelum kembali ke Lubnan dan menjadi komander untuk Gerakan Amal di Beqaa.

Hassan kemudiannya menjadi ahli pengasas Hizbullah dan menyertai tahun kumpulan itu pada tahun ia ditubuhkan iaitu pada 1982 berikutan pencerobohan Israel ke atas Lubnan, yang bermula pada 6 Jun tahun sama.

Menurut The Associated Press, Hizbullah ditubuhkan bagi memerangi tentera Israel yang menyerang Lubnan.

Pada masa yang sama Hassan dilantik menjadi setiausaha agung kumpulan itu selepas pendahulunya, Sayyed Abbas Musawi yang dibunuh oleh tentera Israel pada 1992.

Di bawah kepimpinannya, Hizbullah, yang bermaksud 'Parti Tuhan' dan disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Amerika Syarikat (AS) menjadi terkenal ketika mereka berjuang untuk menghalau Israel dari Lubnan.

Selepas kejayaan itu, beliau dilantik untuk mengetuai kumpulan itu dalam perang 34 hari dengan Israel pada 2006 yang berakhir dengan gencatan senjata yang disokong PBB.

Konflik itu bermula apabila Hizbullah melepaskan tembakan roket ke pangkalan tentera Israel dan perkampungan sempadan dan kemudian menawan dua tentera Israel.

Seorang Felo Kanan di Majlis Hubungan Luar dengan tumpuan kepada Timur Tengah, Ed Husain berkata, tindakan Israel menyasarkan Hassan boleh dilihat sebagai strategi proaktif untuk mempertahankan rejim itu dan pembunuhan itu tidak mengejutkan semua pihak.

“Israel nampaknya tidak lagi takut untuk bertempur secara langsung dengan Iran dan mereka tidak takut memasuki operasi yang lebih besar,” kata Hussain.

DETIK PEMBUNUHAN HASSAN

Dakwaan IDF telah membunuh Hassan dibuat selepas tenteranya melancarkan serangan udara pada Jumaat di ibu pejabat Hizbullah yang terletak di bawah bangunan kediaman di Dahieh, pinggir selatan Beirut.

Asap menjulang ke langit di pinggir ibu negara Beirut selepas diserang Israel. - AFP
Asap menjulang ke langit di pinggir ibu negara Beirut selepas diserang Israel. - AFP

Serangan itu menggegarkan ibu negara Lubnan, menyebabkan kepulan asap tebal ke atas bandar.

Kru NBC News turut menyaksikan letupan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut Rafic Hariri.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan 91 cedera dalam serangan itu.

Seorang pegawai Israel memberitahu NBC News, mereka menjangkakan Hizbullah akan cuba melancarkan serangan balas besar-besaran. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!