Mayat Hassan Nasrallah ditemukan - Sumber
BEIRUT - Mayat pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah yang terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Beirut, telah ditemukan, dedah sumber yang rapat dengan pergerakan itu kepada AFP pada Ahad.
“Mayatnya ditemui pada Sabtu dan sudah dikafankan pada Ahad selepas dimandikan,” kata sumber itu, yang enggan dikenali.
"Majlis pengebumiannya masih belum diatur,” tambah sumber itu.
Sebelum kematiannya pada Jumaat lalu apabila jet Israel menyerang kawasan tengah Hezbollah di selatan ibu kota Lubnan, Nasrallah dianggap sebagai orang paling berkuasa di negara itu.
Selama lebih tiga dekad beliau mengetuai gerakan yang disokong Iran yang merupakan musuh Israel.
Serangan udara Jumaat lalu juga membunuh Ali Karake, komander tertinggi kumpulan itu di selatan Lubnan, kata Hezbollah pada Ahad.
Hezbollah, bagaimanapun, tidak menamakan orang lain yang meninggal dunia bersama Nasrallah dan Karake.
Bagaimanapun, tentera Israel berkata pada hari Ahad bahawa "lebih 20 pemimpin lain daripada pelbagai pangkat" turut terbunuh dalam serangan itu.
Pihak berkuasa di Lubnan memberikan angka sementara enam kematian, tetapi memandangkan skala kemusnahan yang berlaku, jumlah kematian dijangka lebih tinggi.
Pinggir selatan Beirut dan selatan serta timur Lubnan telah menjadi sasaran pengeboman hebat Israel sejak Isnin, dengan Kementerian Kesihatan negara itu melaporkan lebih 700 orang terbunuh dan ratusan ribu orang kehilangan tempat tinggal. - Awani/AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!