Harimau Muda B-19 diikat Sri Lanka
SKUAD bola sepak Bawah 19 tahun (B-19) negara melabuhkan kempen Kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Dushanbe di kedudukan keempat selepas terikat, 1-1 menentang Sri Lanka dalam perlawanan terakhir Kumpulan E, pada Ahad.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Republican Central, pengendali skuad Harimau Muda B-19 negara, Juan Torres Garrido menurunkan kesebelasan terbaik berdepan skuad bimbingan Rajamany Devasagayam.
Skuad muda negara bermula baik apabila mendominasi sebahagian besar perlawanan pada separuh pertama dengan anak buah Garrido mengaum awal menerusi sentuhan Amir Farhan Fauzi untuk gol pembukaan pada minit ke-32.
Bagaimanapun, The Golden Army Juniors kembali menyamakan kedudukan hasil tandukan Johnjimron Haris minit ke-88 sekali gus mengikat kedudukan 1-1.
Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Muda B-19 mengakhiri kempen kelayakan di kedudukan keempat dengan lima mata selepas mengharungi empat perlawanan.
Anak buah Garrido membuka kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Oman, seri 0-0 menentang Korea Utara, tewas 0-1 ke atas Tajikistan.
Sebagai rekod, 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2025 di China tahun depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!