Kukuhkan semangat perpaduan
KUANTAN- Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaaan 2024 akan diteruskan sebagai platform menonjol dan memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan kaum di negara ini khususnya di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia kerana pertandingan debat yang julung kali dianjurkan itu disertai pelajar pelbagai kaum yang mewakili negeri masing-masing.
Menurutnya, semangat seperti itu perlu ada dalam sebuah pertandingan khususnya pertandingan debat yang membawa aspirasi bangsa Malaysia.
"Debat ini dilihat dapat menterjemahkan aspirasi itu melalui kekuatan dan latar belakang pelajar dari pelbagai kaum seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Pada masa sama, kita dapat lihat proses debat itu juga memerlukan rangkuman kerjasama, kefahaman yang tinggi dan sokongan semua pendebat dalam setiap pasukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2024 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, Zainal Abas dan Naib Canselor UMPSA, Professor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.
Pertandingan debat itu disertai 16 pasukan dengan pelibatan 80 pendebat terbaik pelbagai kaum daripada sekolah yang berbeza mewakili negeri masing-masing.
Fadhlina berkata, selain platform perpaduan, debat itu juga antara lain bertujuan meningkatkan penguasaan dan memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.
"Inisiatif ini saya kira perlu diberikan perhatian dalam agenda reformasi pendidikan terutama dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
"Saya lihat tadi anak-anak kita berupaya berdebat dalam bahasa Melayu dengan cukup baik dan inilah antara inisiatif KPM yang kita mahu lonjak dan diperluaskan di semua peringkat sekolah," katanya.
Sementara itu katanya, antara keistimewaan lain debat itu, pendebat yang mewakili negeri dari pelbagai sekolah gabung sekolah harian dan sekolah berasrama penuh (SBP).
"Data juga menunjukkan peserta dari sekolah harian mendominasi pertandingan kali ini.
"Tahniah kepada semua pemenang dan insya-ALLAH pertandingan ini akan dianjurkan setiap tahun melalui komitmen KPM dengan sokongan penuh Jabatan Pendidikan Negeri dan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK)," katanya.
Johor muncul johan
Sementara itu, pasukan debat mewakili negeri Johor melakar sejarah tersendiri apabila membawa pulang wang tunai RM5,000 selepas dinobatkan johan sulung Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2024.
Lebih membanggakan salah seorang ahli kumpulan itu, M Varshini, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra 2, Kulai dinobatkan Pendebat Terbaik Generasi Madani.
Pendebat terbaik Pertandingan Piala Menteri Pendidikan pula dimenangi peserta dari pasukan naib johan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muhd Iqbal Hakimi Mohd Zaidi, 15, pelajar SMK Zon R1 Wangsa Maju.
Kedua-dua pendebat terbaik itu membawa pulang hadiah wang tunai RM500 setiap seorang berserta piala dan sijil pencapaian.
Varshini ketika ditemui mengakui tidak menyangka pasukannya muncul johan dan dia sendiri yang pertama kali menyertai pertandingan debat peringkat kebangsaan terpilih sebagai pendebat terbaik.
"Memang tidak sangka boleh sampai ke tahap ini kerana ada cabaran-cabaran yang terpaksa dilalui.
“Biarpun berbeza kaum dan sekolah, kami tidak kekok dan boleh berkerjasama sebagai satu pasukan serta saling menyokong antara satu sama lain," katanya.
Rakannya, Umira Alisya Shamsir,16 dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Batu Pahat pula berkata, mereka berlima hanya berlatih secara bersemuka di Akademi Debat Johor seminggu sebelum pertandingan itu.
Menurutnya, sebelum itu mereka telah menyertai akademi tersebut sejak Ogos lalu dan menjalani latihan secara dalam talian beberapa kali.
"Kami hanya fokus pada minggu terakhir untuk pertandingan ini namun penat lelah kami terbayar dengan kejayaan membanggakan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Iqbal Hakimi berkongsi rahsia bahawa dia dahulu seorang introvert dan fokusnya hanya kepada akademik semasa di sekolah rendah.
Katanya, personalitinya itu berubah selepas dia mula terlibat dengan pelbagai aktiviti dan pertandingan di sekolah menengah bermula seawal tingkatan satu.
"Berkat usaha, tunjuk ajar dan sokongan cikgu, saya berubah dari introvert kepada extrovert.
"Sejak tingkatan satu saya aktif menyertai pelbagai pertandingan pentas termasuk debat dan berpantun," katanya.
Info
Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024
-Penglibatan 16 pasukan
-80 pasukan terbaik
-Pelbagai kaum dari sekolah yang berbeza
-Mewakili setiap negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!