Ancelotti kecewa, Real patut menang
PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui kecewa selepas Los Blancos membenarkan tuan rumah Atletico Madrid untuk meriah keputusan seri 1-1 dengan jaringan masa tambahan dalam pertembungan LaLiga Derbi Madrid di Estadio Cívitas Metropolitano pada Isnin.
Malah katanya, Real berhak mendapat nasib yang lebih baik selepas menguasai sebahagian besar permainan tetapi gembira pasukannya dapat bangkit dengan sekurang-kurangnya satu mata dari stadium mereka tewas dua kali musim lalu.
“Sukar untuk berdepan dengan keputusan seri di mana kami hampir menang.
“Ia boleh berlaku, lawan sangat kuat dan mempunyai banyak kualiti. Gol mereka pada saat-saat akhir, sayang sekali. Kami mengawal permainan dengan baik, kami datang dekat.
“Tetapi saya sentiasa suka berfikiran positif. Kami telah memenangi satu mata di tempat sendiri dan kami semakin hampir satu mata (kepada pendahulu Barcelona, yang tewas 4-2 di Osasuna pada hari Sabtu).
“Dinamiknya bagus, kami dalam pertarungan dan kami tidak putus asa, seri di sini boleh bermakna mata yang baik untuk masa depan,” kata Ancelotti kepada pemberita.
Keputusan itu menyaksikan Real berada di tangga kedua dengan 18 mata, tiga di belakang Barca dan dua di depan Atletico di tempat ketiga selepas lapan perlawanan.
Real membuka jaringan pada minit ke-64 dengan rembatan pemain pertahanan Eder Militao tetapi perlawanan ditangguhkan selama lebih 20 minit selepas penyokong tuan rumah membaling objek ke atas padang ketika pelawat meraikan jaringan berkenaan.
Selepas perlawanan disambung semula, Atletico meningkatkan tekanan akhirnya menemui gol penyamaan pada minit ke-95, hasil sentuhan pemain gantian Angel Correa.
Sementara itu, Ancelotti memuji tindakan pengadil Mateo Busquets Ferrer menghentikan perlawanan sehingga keadaan terkawal, namun menolak tanggapan bahawa situasi tersebut membantu mengembalikan momentum Atletico.
“Saya tidak fikir (ia membantu Atletico), ia memberi kesan kepada kami berdua secara sama rata. Kami semua mahu bermain. Keputusan untuk menghentikan perlawanan adalah tepat.
“Saya percaya ia adalah keputusan dilakukan pengadil. Jelas sekali, tiada seorang pun daripada kami menyukai situasi itu. Semua orang mahu bermain. Pengadil bertindak dengan baik,” pengendali kelahiran Itali itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!