3,772kg aiskrim dari Taiwan tanpa permit dirampas
BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 3,772.78 kilogram (kg) aiskrim bernilai RM355,874 dari Taiwan pada Isnin.
Maqis Pulau Pinang berkata, pihaknya menahan sebuah kontena dagangan yang membawa pencuci mulut itu di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini.
"Pemeriksaan mendapati, barang dagangan ini tidak mempunyai permit import Maqis yang sah. Oleh demikian, kita mengarahkan kontena dagangan tersebut berpatah balik ke negara asal.
"Dagangan tersebut telah ditahan dan tidak dibenarkan masuk ke dalam negara kerana melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas Maqis Pulau Pinang, perbuatan mengimport produk berasaskan haiwan tanpa permit yang sah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
"Ia boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), Akta yang sama.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Maqis Pulau Pinang turut mengingatkan kepada semua pemain industri agar sentiasa merujuk dan mematuhi syarat-syarat perdagangan import dan eksport negara.
"Sebarang perbuatan yang tidak mematuhi syarat adalah menjadi suatu kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang melanggar ketetapan undang-undang demi menjamin keselamatan dan keterjaminan industri makanan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!