Hampir setahun jalan rosak masih belum dibaiki

Azmizam menunjukkan keadaan jalan rosak teruk yang perlu dibaik pulih segera.
Azmizam menunjukkan keadaan jalan rosak teruk yang perlu dibaik pulih segera.
A
A
A

KLANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri melahirkan rasa kecewa apabila masalah kerosakan jalan di selekoh menghala ke Bandar Sultan Sulaiman daripada Jambatan Selat di sini, hampir setahun lalu masih belum dibaik pulih.

Menurut beliau, setiap hari, hampir 45 ribu penduduk di Bandar Sultan Sulaiman menggunakan laluan berkenaan, termasuk untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

"Bila hendak selesai masalah ini, menteri sudah turun padang 23 November tahun lalu, janji hendak selesai, sudah hampir setahun berlalu namun masalah jalan rosak ini masih tidak selesai," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan kerosakan jalan di selekoh jalan utama menghala ke Bandar Sultan Sulaiman sebelum memuat naik video tinjauan itu di laman media sosialnya pada Ahad.

Justeru, Azmizam menggesa Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Roslan Ismail segera menyelesaikan masalah berkenaan agar tiada lagi kes kemalangan maut berlaku.

"Buatlah sesuatu, atau kalau tidak boleh buat datuk boleh letak jawatan bagi orang lain kerja, datuk kena pastikan dan saya beri tempoh seminggu.

"Kalau tidak boleh selesai saya yakin banyak kenderaan terutama (pemandu) kenderaan berat dan kami akan mogok beramai-ramai, sampai jalan siap atau sampai datuk letak jawatan," katanya.

Jelasnya, beliau juga sudah hilang sabar memandangkan kadar kemalangan di kawasan berkenaan dilaporkan terus meningkat termasuk kemalangan menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan:

"Saya hendak beritahu datuk sudah empat bulan jadi Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia dan saya sudah hilang sabar, mana kontraktor yang sudah dilantik, siapa pegawai turun memantau.

"Ambillah tindakan segera, hendak tunggu berapa ramai lagi orang mati (kemalangan), nak tunggu berapa banyak lagi kemalangan dan kereta serta motosikal rosak kerana lubang-lubang ini," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!