Martinez tinggalkan Boca selepas tewas tiga aksi liga berturut-turut
PENGENDALI kelab liga Argentina, Boca Juniors, Diego Martinez meletak jawatan selepas kekalahan 0-2 Club Atlético Belgrano di Estadio Julio Cesar Villagra pada Ahad.
Ini merupakan kekalahan ketiga berturut-turut La Mitad Más Uno dalam saingan Argentina Primera Division, liga teratas Argentina.
Juara 35 kali itu berada di tangga ke-12 dalam liga dengan lima kemenangan dalam 16 perlawanan.
Boca juga telah tersingkir daripada Cope de la Liga dan Copa Sudamericana selepas tewas penentuan sepakan penalti 4-5 kepada Cruzeiro Esporte Clube, selepas terikat 2-2.
Martinez, yang mengambil alih jawatan pada Januari, telah memaklumkan kepada presiden kelab Juan Roman Riquelme mengenai peletakan jawatan itu sambil mengucapkan terima kasih atas peluang mengendali kelab gergasi Argentina berkenaan.
Bekas pemain tengah Argentina dan Barcelona, Riquelme memohon maaf kepada penyokong-penyokong La Mitad Más Uno atas prestasi pasukan itu, dengan hanya satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga dan tewas kepada musuh tradisi River Plate, 0-1 hujung minggu lalu.
Boca menjadi tuan rumah kepada Argentinos Juniors asuhan Cristian Zermatten di The Bombonera pada Isnin depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!