Polis kesan lokasi wanita dakwa dipaksa jadi pelacur
GEORGE TOWN - Polis sedang mengesan lokasi seorang wanita yang mendakwa dijadikan pelacur oleh sindiket pinjaman wang tidak berlesen di negeri ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kes itu dalam tindakan dan siasatan polis.
"Kita tidak boleh dedah butiran berikutan ia masih dalam siasatan.
"Bagaimanapun, polis sudah maklum tentang kes tersebut dan siasatan sedang dijalankan," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Isnin.
Hamzah sebelum itu menyaksikan Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner Muhammad Halim Yatim menyerahkan jawatan itu kepada Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid yang merupakan Ketua Polis Daerah Timur Laut sebelum ini.
Muhamad Halim yang berkhidmat dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selama 31 tahun.
Razlam kemudian menyerahkan jawatan Ketua Polis Daerah Timur Laut kepada timbalannya, Superintenden Lee Swee Sake yang akan memangku jawatan tersebut.
Sebelum ini, satu klip video tular di TikTok yang memaparkan pengakuan seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa dia dipaksa menjadi pelacur setelah bapanya berhutang dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen.
Pengakuan itu dibuat ketika wanita tersebut menghubungi pengendali audio siar yang mengupas mengenai isu komuniti ketika bersiaran langsung di TikTok.
Menurut wanita yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun itu, bapanya berhutang sebanyak RM20,000 dan memberi alamat rumah di kampung selain menjadikan ibu serta adik-beradiknya sebagai penjamin.
Dakwa wanita, dia dijadikan pelacur oleh sindiket tersebut sejak Februari dan mendakwa dirinya kini berada di Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!