Ajaran sesat di Perak terkawal - Ketua Polis Perak
IPOH - Situasi ajaran sesat di Perak masih terkawal dan belum pada tahap mengancam keselamatan seperti yang berlaku di negeri-negeri lain.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam memantau beberapa ajaran sesat yang dikenal pasti wujud di negeri ini.
Sehubungan itu katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan kegiatan ajaran sesat tersebut memandangkan ia berada dalam pengetahuan pihak berkuasa.
"Setakat ini Perak dalam keadaan aman, tenteram, rakyat jangan khuatir. Apa juga isu ditangani oleh pihak polis dengan baik. Tidak perlu ada kerisauan.
"Sekiranya ada perkara-perkara yang mungkin menggugat keamanan, keselamatan negara dalam apa juga bidang, kita akan mengambil tindakan. Jadi sekarang ini belum masa untuk bertindak," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika hadir Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Bersama PDRM dan Flash Express di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Haji Mohd Taib, Chemor di sini pada Isnin.
Hadir sama pada majlis itu, Pengetua SMK Dato' Haji Mohd Taib, Norelawati Jawahir.
Sinar Harian pada 28 September lalu melaporkan bahawa kerajaan negeri Perak mengesan beberapa ajaran sesat di negeri ini yang beroperasi di daerah tertentu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kegiatan ajaran sesat itu dikenal pasti melalui hasil penyelidikan yang dibuat JAIPk.
Menurutnya, susulan itu pihaknya sedang memantau kegiatan ajaran tersebut tanpa mendedahkan individu mahu pun organisasi berkenaan.
Pada Ogos lalu, Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah mengakui wujud gerakan ajaran sesat Millah Abraham di sebuah daerah di negeri ini.
Susulan itu JAIPk akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain termasuk polis bagi menangani gerakan ajaran sesat itu.
Beberapa hari lalu, satu akaun Facebook turut mendedahkan terdapat satu ajaran sesat yang dikesan di daerah Muallim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!