Pantau agensi guna 80 peratus peruntukan untuk pengurusan

Anwar ketika berucap merasmikan Simposium Kebangsaaan: Menokhtahkan Kemiskinan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin. Foto Bernama
Anwar ketika berucap merasmikan Simposium Kebangsaaan: Menokhtahkan Kemiskinan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz diarahkan untuk membuat pemantauan secara kerap terhadap agensi yang menguruskan dana berkaitan pembasmian kemiskinan.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat agensi yang memperuntukkan 80 peratus daripada dana kerajaan untuk pengurusan dan hanya 20 peratus disalurkan kepada rakyat miskin.

"Apakah munasabah satu badan yang ditubuhkan untuk membantu orang miskin memberi upah kepada pengurusan begitu tinggi dan memberi kemudahan penerbangan kelas pertama serata dunia setiap kali ada acara di luar negara dibelanjakan.

"Sebab itu kita tegas mengenai perkara ini kerana ia menjadi budaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Simposium Kebangsaan Kebangsaan 2024: Menokhtahkan Kemiskinan di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Pada 20 September lalu, Anwar membatalkan perancangan rombongan 68 pegawai dari sebuah kementerian dan agensi untuk mengadakan lawatan ke sebuah pesta pameran di Berlin, Jerman.

Tindakan berkenaan sebagai satu mesej jelas kepada semua pihak bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam sebarang tindakan yang boleh merugikan dana awam, di samping tegas untuk terus melaksanakan reformasi dalam institusi penjawat awam

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anwar berkata, agensi berkenaan sepatutnya memainkan peranan mereka membantu kerajaan dalam usaha menokhtahkan kemiskinan.

"Tetapi dalam mesyuarat dibincangkan apakah karpet perlu ditukar, elaun ditingkatkan ketimbang tahun lalu kerana dana kerajaan tinggi," katanya.

Tambah beliau, dana untuk membasmi kemiskinan yang diperuntukkan kerajaan adalah antara tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia.

"Adakah ia betul-betul berkesan? Berapa banyak tiris? Bagaimana kita harus tentukan bantuan itu untuk memerdekakan mereka (golongan miskin)?

"Hal ini yang saya anggap saudara boleh bicarakan. Tidak mengapa, boleh tegur boleh kritik asalkan jangan memberontak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!