Pantai Hiburan: Destinasi 'wajib' singgah di Kuala Rompin

Pantai Hiburan mempunyai pemandangan cantik dan pelbagai kemudahan disediakan.
Pantai Hiburan mempunyai pemandangan cantik dan pelbagai kemudahan disediakan.
A
A
A

ROMPIN - Pantai Hiburan yang terletak kira-kira 1.8 kilometer (km) dari bandar Kuala Rompin antara destinasi pelancongan menarik yang ‘wajib’ dikunjungi di daerah ini.

Pantai Hiburan menjadi destinasi percutian impian setiap pencinta alam semula jadi.

Panorama indah dengan suasana pantai menjadikan ia lokasi sesuai bagi mereka yang inginkan kedamaian dan menghilangkan tekanan serta destinasi ideal untuk kaki healing berdamai dengan alam.

Bukan sekadar pemandangan pantai mempesonakan malah lokasi pelancongan itu kini berubah wajah dengan landskap baharu selepas ia siap dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan dan dibuka semula April lalu.

Pengunjung yang ditemui mengakui teruja dan menyifatkan pantai itu kini semakin menjadi tumpuan dan meriah dengan kehadiran pengunjung.

Muhammad Farid
Muhammad Farid

Peniaga dari Bahau, Negeri Sembilan, Muhammad Farid Mahzan, 30, berkata, selain keindahan pantai yang terpelihara, kemudahan yang disediakan di kawasan Pantai Hiburan mendorong dia dan rakan membawa keluarga masing-masing menjalankan aktiviti berkhemah di tapak perkhemahan yang ada di situ.

Dia yang sudah beberapa kali berkhemah di pantai itu juga berpuas hati dengan tahap kebersihan kawasan persekitaran yang terjaga rapi.

Artikel Berkaitan:

“Memang selesa dan sesuai untuk membawa keluarga menjalankan pelbagai aktiviti di sini selain berhampiran dengan bandar, mudah untuk mendapatkan keperluan ketika berkhemah di sini,” katanya.

Bagi Mohd Kamal Ali, 54, pantai itu sudah tidak asing dan menjadi pilihannya untuk bersantai menenangkan fikiran.

“Pantai ini antara yang saya paling suka kerana pemandangannya cantik, bersih dan paling penting terdapat banyak kemudahan di sini termasuk tandas yang selesa, banyak parkir dan bermacam aktiviti sering diadakan di sini,” ujar kakitangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu.

Pandangan sama dikongsi, Norain Jamaludin, 37, dari Felda Selendang, Kuala Rompin yang datang bersama keluarga ke pantai itu untuk memeriahkan Moh Karnival Makmur 2024 Peringkat Daerah Rompin yang dianjurkan di situ.

Norain yang bekerja sendiri berterima kasih kepada semua pihak termasuk Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang telah membangun dan menaik taraf pantai berkenaan sehingga muncul sebagai antara daya tarikan utama pelancongan di daerah itu.

“Ramai pengunjung luar mula berkunjung ke sini terutama pada hujung minggu dan suasananya semakin meriah, jauh berbeza berbanding dulu,” kongsinya.

Suasana di Pantai Hiburan yang meriah dengan pelbagai aktiviti pada waktu malam.
Suasana di Pantai Hiburan yang meriah dengan pelbagai aktiviti pada waktu malam.

Terima manfaat

Selain pengunjung, penduduk setempat yang berniaga makanan di situ turut menerima manfaat langsung daripada inisiatif ECEDRC menaik taraf kemudahan termasuk pembinaan medan selera yang lebih selesa.

Suria Roslan, 30, yang mengusahakan kafe menyajikan kopi dan pelbagai menu pencuci mulut mengakui kehadiran pengunjung ke pantai itu semakin ramai bukan hanya pada hujung minggu malah pada hari-hari biasa.

Suria
Suria

Dia yang baru dua minggu memulakan perniagaan di medan selera itu yakin perniagaan diusahakan berjalan dengan baik berdasarkan sambutan ketika ini.

“Saya tidak bimbang hendak berniaga di sini kerana pelanggan sentiasa ada.

“Hari biasa pun ada pengunjung datang dan singgah menikmati kopi bersama hidangan pencuci mulut di sini,” ujarnya.

Marisa Maeroh, 40, juga mampu tersenyum apabila gerai makanan yang diusahakan di medan selera Pantai Hiburan sentiasa menerima pelanggan.

Dia yang menjalankan perniagaan di kawasan itu sejak tujuh tahun lalu menyaksikan banyak perubahan positif berlaku.

“Keadaan ini membantu merancakkan aktiviti ekonomi di sini sekali gus membawa rezeki kepada peniaga seperti saya yang mencari makan di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, Pantai Hiburan menjadi tarikan pelancongan utama di Rompin sejak ia dibuka semula 6 April lalu.

Menurutnya, pembangunan semula pantai itu melibatkan pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket serta kemudahan awam yang lain.

“Projek ini bertujuan merangsang industri pelancongan di daerah Rompin selari dengan usaha ECERDC untuk mencipta destinasi bagi merancakkan sektor pelancongan dan memacu ekonomi tempatan.

“Pantai Hiburan juga telah dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di Wilayah ECER.

“Mengukuhkan tarikan pelancongan di negeri yang kaya dengan keindahan alam semula jadinya ini antara inisiatif utama ECERDC dalam merangsang pembangunan sosioekonomi mampan dengan menggalakkan pelancongan domestik.

“Ia secara tidak langsung membolehkan masyarakat tempatan mendapat manfaat daripada aktiviti ekonomi berkaitan pelancongan selari dengan fokus kerajaan Persekutuan ke arah ekopelancongan dan pelancongan lestari,” katanya.

Tambahnya lagi, semua projek itu akan memberi peluang bermakna kepada pelancong untuk berinteraksi dengan alam semula jadi dan penduduk tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!